Wednesday, December 17, 2008

Utara: Pasar raya sahut kempen turun harga barang

GEORGETOWN: Rangkaian Pasaraya Sunshine milik Suiwah Corporation Berhad (Suiwah) menyahut seruan kerajaan dengan menyertai kempen penurunan harga bagi meringankan bebanan rakyat. Sebanyak 600 jenis barang yang merangkumi makanan segera, kering, sejuk beku, produk penjagaan diri dan keperluan harian dikurangkan kurang sehingga 30 peratus sejak 8 November lalu. Pengarah Sunshine Amanjaya Sdn Bhd merangkap Ahli Lembaga Pengarah Suiwah Corporation Berhad, Datuk Abdul Rafique Abdul Karim, berkata kempen penurunan harga itu sepatutnya berakhir hujung bulan ini tetapi dilanjutkan sehingga 31 Januari depan.
"Penurunan harga ini diharap dapat meringankan beban pengguna terhadap barang keperluan harian. Ini sebahagian daripada tanggungjawab kami kepada masyarakat," katanya. Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen itu oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad di pasar raya itu di Bayan Baru, kelmarin. Lima pasar raya Sunshine yang menyertai kempen berkenaan ialah Sunshine Farlim Hypermarket, Sunshine Jelutong, Sunshine Bukit Mertajam dan Pasaraya Sui Wah Ayer Itam.
Sementara itu, Abdul Rafique berkata, syarikat itu akan membuka satu lagi cawangan pasar raya di negeri ini yang dijangka membuka peluang pekerjaan kepada 1,000 orang. Katanya, walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu tetapi syarikat terus berkembang, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup rakyat.

No comments: