Tuesday, December 2, 2008

Haidar lega hanya otak bergegar


KUALA LUMPUR - Pelumba lebuh raya negara, Ahmad Haidar Anuawar lega selepas pemeriksaan doktor mendapati tiada darah beku atau keretakan pada tempurung kepalanya.
Beliau yang jatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter ketika menyertai Jelajah Indonesia tiga hari lalu hanya mengalami gegaran otak yang tidak begitu serius.
Ini menyebabkan dia masih mengalami kesan sampingan seperti pening-pening dan rasa mual seperti hendak muntah.
"Saya bersyukur kecederaan kepala saya tidak serius walaupun topi keledar saya pecah kerana terhantuk ke batu.
"Doktor menasihatkan saya supaya berehat seminggu sebelum menjalani semula latihan dan menerima rawatan susulan," katanya.
Semalam Haidar menjalani dua pemeriksaan rapi iaitu di Pusat Perubatan Gleaneagles dan Institut Sukan Negara (ISN).
Dalam insiden itu, topi keledar Haidar pecah selepas terhantuk pada seketul batu besar dan terus pengsan.
Ketika kejadian, dia sedang menuruni bukit dengan laju sebelum tiba-tiba motosikal marsyal di depannya terjatuh pada peringkat keempat perlumbaan dari Bandung ke Cerebon.
Haidar terlanggar motosikal itu dan tercampak ke dalam gaung sebelum diselamatkan pasukan perubatan.
Mengenai peluangnya untuk disenaraikan dalam skuad negara ke Le Tour de Langkawi (LTdL) 2009, Haidar yakin akan disenaraikan.
"Saya pernah menduduki tempat kelima dan keenam dalam dua peringkat di Jelajah Hainan sebelum ini dan tempat kesembilan di Jelajah Indonesia sebelum terjatuh dan dihantar pulang.
"Jadi saya berharap, pencapaian itu cukup untuk saya disenaraikan," tegasnya
.

No comments: