Tuesday, December 2, 2008

'Tiada bukti sahih'

BERITA HARIAN 02 DIS 08-KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, laporan media asing kononnya pengganas yang melancarkan serangan di Mumbai, India ada kaitan dengan Malaysia berdasarkan penggunaan alamat dan kad kredit yang dikaitkan dengan negara ini, hanya dakwaan kerana belum ada bukti mengenainya. Timbalan Perdana Menteri berkata, sehingga ini belum ada sebarang bukti sahih berhubung perkara itu tetapi kerajaan akan terus berhubung dengan polis India dan Interpol bagi mendapatkan pengesahan serta maklumat lanjut mengenai dakwaan terbabit.
"Setakat ini, kita anggap perkara itu sebagai dakwaan yang belum ada bukti dan kenyataan susulan akan dibuat selepas kita mendapat maklumat mengenainya," katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Ekonomi Negara di Bangunan Parlimen di sini, semalam. Beliau diminta mengulas laporan beberapa media India sebelum ini yang mendakwa pengganas yang melancarkan serangan berdarah di Mumbai minggu lalu, menggunakan alamat Malaysia untuk menyewa penginapan, selain penemuan kad kredit Malaysia di lokasi kejadian. Dalam serangan serentak di 10 lokasi berasingan di bandaraya itu, 174 orang terkorban, termasuk seorang rakyat Malaysia, Hema Kasipillay, 51, yang mayatnya ditemui di tingkat enam Hotel Taj Mahal yang turut menjadi sasaran. Selain itu, hampir 300 orang lagi dilaporkan cedera.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dilaporkan berkata, polis sedang bekerjasama dengan Polis India dan Interpol bagi menyiasat kesahihan dakwaan pengganas yang melancarkan serangan berdarah itu menggunakan alamat Malaysia untuk menyewa rumah. Musa berkata, pihaknya juga memberi jaminan akan membantu pihak berkuasa India menjalankan siasatan terperinci laporan media antarabangsa mengenai dakwaan penemuan kad kredit Malaysia di lokasi kejadian berkenaan. "Kita masih menunggu laporan berhubung perkara itu," katanya yang turut meminta media antarabangsa supaya lebih berhati-hati membuat laporan supaya tidak timbul prasangka sehingga boleh mencemarkan nama baik Malaysia. Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata pihak Wisma Putra akan menghubungi kerajaan India dalam masa terdekat untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung dakwaan berkenaan.
"Kita perlu dapatkan pengesahan segera daripada India bagi membersihkan nama negara berikutan dakwaan yang dilaporkan media asing itu. Malah, kita juga perlu tahu apa sebenarnya berlaku hingga timbul dakwaan membabitkan Malaysia," katanya di lobi Parlimen. Syed Hamid berkata, pihaknya memberi perhatian serius terhadap dakwaan berkenaan bagi memastikan ia tidak terus memburukkan imej negara di peringkat antarabangsa seterusnya memberi kesan terhadap hubungan negara di rantau ini. Konsul Jeneral Malaysia di Mumbai, Wan Zaidi Wan Abdullah, ketika dihubungi Berita Harian, semalam pula berkata, pihaknya juga belum menerima sebarang maklumat atau laporan rasmi berhubung dakwaan berkenaan. "Setakat ini kita langsung tiada menerima sebarang laporan rasmi daripada pihak berkuasa atau kerajaan India mengenai perkara yang mengaitkan Malaysia dalam kejadian keganasan itu. Perkara itu hanya dilaporkan media dan kewibawaan maklumat berkenaan juga belum disahkan. "Bagaimanapun, kami sedang berurusan dengan Jabatan Protokol India untuk membuat temu janji dengan pihak berkuasa India bagi mendapatkan maklumat lanjut perkara itu dan sebarang maklumat yang diperoleh akan disalurkan kepada Wisma Putra," katanya. Wan Zaidi berkata, keadaan di Mumbai kini sudah hampir kembali seperti biasa dengan kebanyakan sekolah dan pusat perniagaan dibuka semula tetapi penduduknya masih trauma dengan serangan berkenaan serta membuat bantahan terhadap kelemahan pasukan keselamatan. Sementara itu, agensi berita AFP semalam melaporkan Timbalan Menteri Dalam Negeri India, Shakeel Ahmad dalam kenyataan kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) berkata, semua pengganas yang terbabit dalam serangan minggu lalu sebenarnya berasal dari Pakistan. "Kami tidak mengandaikan bahawa serangan yang dilakukan itu tajaan kerajaan Pakistan tetapi sesuatu yang pasti ialah pengganas yang melakukan serangan berdarah di Mumbai minggu lalu memang berasal dari Pakistan," katanya. Kelmarin, agensi berita antarabangsa turut melaporkan, satu-satunya lelaki bersenjata yang berjaya ditahan kerana disyaki antara yang terbabit melancarkan serangan itu mendedahkan keganasan berkenaan didalangi kumpulan militan berpangkalan di Pakistan. Ajmal Amir Kamal, 21, yang membuat pengakuan itu ketika disoal siasat polis India, juga berkata, semua penyerang adalah warga Pakistan dan mereka dilatih Lashkar-e-Taiba, yang menentang pemerintahan India di Kashmir.

No comments: