Monday, December 15, 2008

Chikungunya: Rakyat Kedah jangan panik

Oleh OPAT RATTANACHOT
SUNGAI PETANI 14 Dis. - Penduduk Kedah diminta tidak panik dengan penyakit demam chikungunya yang dikatakan sedang merebak di daerah Kuala Muda dan kawasan sekitarnya.
Timbalan Pengarah Kesihatan (Awam) Kedah, Dr. Shahidan Hashim berkata, penduduk tidak perlu bimbang kerana penyakit bawaan nyamuk aedes itu tidak mendatangkan maut.
Bagaimanapun katanya, langkah-langkah pencegahan perlu diambil rakyat termasuk bergotong-royong membersihkan kawasan persekitaran daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk tersebut, seterusnya mengelak penularan penyakit tersebut.
''Berdasarkan perkembangan sehingga hari ini, sebanyak 27 kes disyaki demam chikungunya dikesan di Kampung Sungkap Para, Sungai Lalang, Sungai Petani.
"Daripada jumlah tersebut, 10 kes dikesan pada kelmarin sementara 17 lagi, semalam.
"Keadaan mereka dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani dan Hospital Yan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menemani Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Penerangan, Badan-badan Bukan Kerajaan dan Pembangunan Insan Negeri, Dr. Ismail Salleh melawat mangsa chikungunya di HSAH di sini hari ini.
Menurut Shahidan, berikutan kejadian itu, Jabatan Kesihatan Kedah telah mengambil sampel darah ke atas semua mangsa untuk dianalisis.
"Sampel darah kes-kes itu telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan di ibu negara untuk ujian pengesahan chikungunya dan dijangka diketahui dalam tempoh dua minggu," katanya.
Semalam, akhbar melaporkan Jabatan Kesihatan Kedah mengesan sebanyak 16 kes yang disyaki demam chikungunya melibatkan penduduk dalam kawasan daerah Kuala Muda.
Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr. Hasnah Ismail berkata, berdasarkan pemeriksaan, sebanyak 84 penduduk melibatkan 15 keluarga dari Kampung Sungkap Para, Sungai Lalang, dekat sini dikesan mempunyai simptom demam chikungunya sejak beberapa hari lalu.
Terdahulu, Shahidan ketika menyertai kempen gotong-royong bersama penduduk di Kampung Sungkap Para berkata, orang ramai diminta supaya mengenal pasti tempat pembiakan nyamuk yang dipercayai membawa wabak dan mengambil langkah memusnahkannya segera bagi mengelak penyakit merebak.
''Nyamuk boleh dimusnahkan pada peringkat awal, tetapi jika dibiarkan hingga ke peringkat matang, ia akan menggigit penduduk seterusnya terbang ke kawasan lain dengan cepat
," jelasnya.

No comments: