Tuesday, December 2, 2008

Dua pelajar naik sampan ambil STPM


BERITA HARIAN 02 DISEMBER 08-TUMPAT: Dua pelajar perempuan dari Kampung Bendang Pak Yong, dekat sini, terpaksa mendayung sampan dalam hujan untuk meredah banjir sejauh empat kilometer bagi menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), selepas jalan dan kampung mereka dinaiki air, semalam. Nor Azila Rashid dan Azimah Abdul Aziz, dari Sekolah Menengah Chabang Empat, Tumpat, terpaksa bersampan lebih sejam seawal jam 5 pagi untuk ke pusat peperiksaan selepas rumah dan jalan di kampung mereka dinaiki air sedalam satu meter, menyebabkannya terputus hubungan. Nor Azila berkata, dia tidak menyangka paras air meningkat mendadak lewat malam kelmarin hingga menyebabkannya tiada pilihan selain mendayung sampan demi memastikan tidak terlepas peluang menduduki peperiksaan Kertas Dua Pengajian Am, pagi semalam.
"Sebaik bangun tidur, saya terkejut mendapati rumah sudah dinaiki air manakala jalan utama ke kampung turut ditenggelami banjir sehingga menyebabkan saya tidak dapat keluar dengan motosikal seperti biasa. "Kebetulan awal tahun ini ayah ada membeli sampan kayu, jadi saya nekad mendayung bersama Azimah yang tinggal berhampiran," kata anak keempat daripada tujuh beradik itu ketika ditemui di sini, semalam. Beliau berkata, sepanjang perjalanan sejam itu dia dan Azimah mendayung mengikut jalan kampung yang dikelilingi sawah sambil mencedok air yang memasuki sampan kerana bocor.

"Memang penat dan takut kerana arus deras dan kami pula tiada jaket keselamatan. "Namun, yang penting kami tidak terlepas menduduki peperiksaan walaupun dalam keadaan pakaian basah kuyup kerana tidak dapat memegang payung ketika mendayung sampan," katanya yang akan menduduki dua lagi kertas STPM yang berakhir Khamis ini. Selain Nor Azila dan Azimah, kira-kira 30 lagi pelajar di kampung itu yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan STPM kini terpaksa mendapatkan bantuan keluarga atau penduduk kampung untuk menghantar mereka ke pusat peperiksaan. Azimah pula berkata, dia bangun lebih awal dan mendapatkan bantuan Nor Azila yang mempunyai sampan bagi mengelak terlepas peluang menduduki peperiksaan walaupun hatinya bimbang meredah banjir dalam hujan.
"Walaupun keadaan saya basah setiba di sekolah untuk menduduki peperiksaan, saya tidak menghadapi banyak masalah untuk menjawab soalan," katanya. Azimah berkata, banjir yang melanda sudah menjadi lumrah bagi penduduk kampung kerana ia berlaku hampir setiap tahun, cuma bezanya tahun ini banjir melanda secara mengejut pada awal pagi, ketika penduduk sedang tidur. "Mungkin ada rahmat di sebalik kejadian ini... mana tahu saya mampu memperoleh kejayaan dalam STPM tahun ini selepas pelbagai kesulitan yang ditempuhi kerana setakat ini semua soalan dapat dijawab dengan baik," katanya

No comments: