Sunday, December 21, 2008

600 bantah ladang ternak babi di Kuala Sungai Baru

Penduduk mahu pemimpin Melayu, Islam campur tangan ALOR GAJAH: Seramai 600 penduduk Kuala Sungai Baru berhimpun secara aman bagi membantah kewujudan ladang ternakan babi di penempatan mereka di dewan Hotel Riverside, Masjid Tanah, dekat sini, kira-kira jam 8 pagi semalam. Bantahan dianjurkan Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) turut disertai Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Dakwah dan Islamiah Malaysia (Pekida), Persatuan Chalet Bumiputera Melaka (PPCBM) dan Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM).
Pada majlis itu, Timbalan Pengerusi Pewaris, Rahimuddin Md Harun, menyerahkan memorandum bantahan kepada Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman Yusop yang hadir untuk disampaikan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Rahimuddin berkata, bantahan itu dianjurkan bagi membantu penduduk Islam di Kuala Sungai Baru menikmati hidup lebih tenteram dan bebas pencemaran babi dari ladang haiwan itu yang sudah beroperasi kira-kira 50 tahun lalu. "Pada program ini kita berjaya menyampaikan memorandum kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah bagi membolehkan disampaikan kepada Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Ali Rustam).
"Selepas ini kita akan menghantar memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Pembangkang yang juga Penasihat Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. "Kita mahu memorandum ini dihantar kepada semua pemimpin Islam dan Melayu supaya mereka dapat membincangkan serta memperjuangkan nasib penduduk Melayu dan Islam di Kuala Sungai Baru," katanya. Hadir sama, Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Ma'amor Osman dan Pengerusi PPCBM, Zakaria Othman. Difahamkan, bantahan itu diadakan berikutan kejadian penemuan kali kedua bangkai kepala babi yang digantung pihak tertentu di atas sebidang kain rentang yang dipasang di pagar Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak, berhampiran sebuah bulatan menuju ke Kampung Pengkalan Balak, kira-kira jam 7 pagi, Rabu lalu.
Sebelum itu, pada 13 November lalu, kepala babi ditemui tergantung di pagar rumah seorang pesara guru di Kampung Ujong Padang, dekat sini. Susulan kejadian itu, penduduk serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) memprotes tindakan biadap itu sehingga membawa kepada demonstrasi secara aman, selain beberapa aduan polis dibuat. Perbuatan itu dianggap sebagai penghinaan kepada masyarakat Islam di situ selain cuba menjejaskan perniagaan perhotelan. Polis sebelum ini menahan tiga individu berkaitan kes itu pada 13 November lalu, tetapi dibebaskan semula selepas disahkan tidak terbabit.

No comments: