Tuesday, December 16, 2008

Harga petrol, diesel turun 10 sen lagi

Oleh Haika Khazi mfaizul@bharian.com.my

PUTRAJAYA: Harga runcit petrol dan diesel turun 10 sen lagi berkuat kuasa hari ini, menjadikan harga petrol RON97 kini RM1.80 seliter, manakala petrol RON92 dan diesel RM1.70 seliter. Penurunan kali kedua bulan ini dan ketujuh sejak dinaikkan berikutan penyusunan semula subsidi minyak pada 5 Jun lalu juga menjadikan harga runcit petrol RON97 12 sen lebih rendah berbanding RM1.92 seliter, iaitu paras sebelum dinaikkan 78 sen kepada RM2.70 seliter. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam satu kenyataan semalam berkata, pengurangan harga runcit petrol dan diesel sejajar penurunan harga minyak mentah dunia.
Berkuat kuasa tarikh sama, harga petrol dan diesel subsidi bagi nelayan diturunkan 13 sen seliter daripada RM1.43 sen seliter kepada RM1.30 seliter seperti diumumkan sebelum ini,” katanya. Mengikut formula penyelarasan harga bahan api berikutan penstrukturan semula subsidi minyak 5 Jun lalu, harga runcit petrol dan diesel ditetapkan pada setiap awal bulan berdasarkan purata bulanan harga minyak mentah dunia, selepas ditolak subsidi kerajaan. Bagaimanapun, kerajaan mempercepatkan penurunan harga runcit sejajar aliran harga minyak mentah dunia supaya rakyat dapat menikmatinya segera.
Kerajaan mengumumkan penurunan harga pertama pada 23 Ogos lalu dengan petrol RON97 dan RON92 masing-masing turun 15 sen dan 22 sen kepada RM2.55 dan RM2.40 seliter, manakala harga diesel dikurangkan lapan sen kepada RM2.50 seliter. Ini diikuti pada 25 September lalu, apabila harga runcit bahan api berkenaan sekali lagi diturunkan 10 sen menjadikan harga petrol RON97 pada RM2.4; RON92 (RM2.30) dan diesel (RM2.40) seliter. Pada 15 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan penurunan harga kali ketiga dengan harga petrol RON97 dikurangkan 15 sen seliter kepada RM2.30, RON92 turun 10 sen seliter kepada RM2.20 dan diesel 20 sen seliter kepada RM2.20. Penurunan kali keempat harga runcit bahan api sebanyak 15 sen seliter pula berkuat kuasa 1 November dengan harga petrol RON97 pada RM2.15 seliter dan RON92 pada RM2.05 seliter, manakala diesel pada RM2.05 seliter.
Ini diikuti penurunan kali kelima, juga 15 sen berkuat kuasa 18 November, menjadikan harga petrol RON97 RM2 seliter, RON92 RM1.90 seliter dan diesel RM1.90 seliter. Berkuat kuasa 3 Disember lalu, harga runcit petrol dan diesel diturunkan 10 sen lagi menjadikan harga RON97 hanya RM1.90 seliter berbanding RM2 seliter sebelumnya manakala petrol RON92 dan diesel RM1.80 seliter berbanding RM1.90 seliter.

No comments: