Monday, December 22, 2008

Syor kerajaan naik gaji doktor pakar dalam negara

Kerajaan diminta menumpukan kepada kebajikan pakar perubatan dalam negara seperti menaikkan gaji berbanding mengajak mereka yang sedang berkhidmat di luar negara pulang ke tanah air. Presiden Alumni Doktor Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Haron Ahmad, berkata lebih baik jika kerajaan mengambil langkah tertentu bagi memastikan pakar perubatan yang sedang berkhidmat dalam negara berhijrah tidak ke sektor swasta. "Sebenarnya, negara tidak mengalami kekurangan pakar perubatan kerana difahamkan ramai daripada mereka tertumpu di kawasan bandar selepas berpindah ke sektor swasta.
Justeru, kerajaan perlu menjaga kebajikan, terutama gaji setimpal kepada pakar sedia ada daripada memberi pelbagai keistimewaan yang melampau kepada pakar tempatan yang berkhidmat di luar negara," katanya selepas Kejohanan Lawan Pedang Kebangsaan Grand Prix 3/2008, di Dewan Warisan di sini semalam. Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah, turut berangkat. Hadir sama Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Brig Jen Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin. Dr Haron berkata, tidak adil untuk membezakan tahap kepakaran pakar perubatan hanya kerana golongan terbabit berpeluang melanjutkan pelajaran di luar negara.
Beliau juga berkata tindakan membezakan itu boleh mewujudkan persepsi orang ramai kononnya pakar perubatan luar negara adalah yang terbaik. "Walaupun gaji ditawarkan kerajaan kepada pakar dan doktor tempatan sekarang realistik, tumpuan lebih perlu difikirkan untuk mengelak mereka berpindah ke sektor swasta," katanya. Beliau berkata, pakar perubatan yang mendapat bantuan kewangan kerajaan seharusnya pulang berkhidmat tanpa perlu meminta keistimewaan dan gaji yang tinggi. Katanya, golongan itu tidak boleh menyamakan gaji yang diperoleh di luar negara dengan Malaysia kerana kos sara hidup di sini lebih rendah.
"Pakar yang berkhidmat di luar negara tidak perlu dipujuk untuk pulang kerana menjadi tanggungjawab mereka sendiri untuk berbakti kepada negara selepas menerima bantuan kerajaan," katanya.

No comments: