Wednesday, December 17, 2008

6 langkah proaktif elak gawat ekonomi - Najib


PUTRAJAYA 16 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggariskan enam langkah proaktif yang perlu digerakkan semua agensi dan kementerian bagi mengelakkan negara terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi terutama tahun depan yang membawa kegelisahan rakyat.
Sambil menyifatkan tahun-tahun akan datang begitu mencabar, Timbalan Perdana Menteri menegaskan, langkah-langkah itu termasuk berpegang teguh kepada nilai integriti dengan menghapuskan rasuah serta membantu mengukuhkan sistem penyampaian kerajaan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan mengakui kerajaan ketika ini berusaha memastikan permintaan domestik berada pada tahap setinggi mungkin, menentukan sektor perbankan mempunyai kecairan mencukupi serta menetapkan rangsangan fiskal berjalan mengikut jadual.
''Tentu sekali kita semua akan terasa beban cabaran yang harus dipikul sebab rakyat meletakkan harapan besar kepada kerajaan untuk menyelamatkan negara daripada terjerumus ke lembah kemelesetan ekonomi," katanya.
Beliau berucap menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Kualiti Perbendaharaan Malaysia 2008 di Kementerian Kewangan di sini.
Najib berkata, keenam-enam langkah proaktif yang perlu dilaksanakan semua agensi dan kementerian adalah seperti berikut:
l Modal keintelektualan mesti diperkukuhkan. Ini bererti segala kepakaran ilmu dan pengkhususan yang berkaitan pengurusan ekonomi dan kewangan negara harus diperkuatkan bagi membolehkan kerajaan membuat keputusan-keputusan yang tepat dan kena pada tempat serta masanya.
l Perlu menambah tahap efisien daripada peringkat paling asas kepada yang lebih canggih. Dalam konteks ini, Kementerian Kewangan sebagai agensi pusat juga memberikan khidmat kepada agensi-agensi lain. Oleh itu, jika dapat menyelesaikan sesuatu fail dengan lebih singkat misalnya, maka tahap efisien ini akan tercapai.
l Dalam keadaan dunia yang mencabar hari ini, semua pihak perlu mencerna idea yang lebih inovatif dan kreatif. Untuk mencapainya, mereka tidak boleh lagi memakai cara lama dalam persekitaran sekarang.
l Tidak boleh lagi melihat kerja-kerja yang dilaksanakan semata-mata kerana peruntukan yang diberikan telah dibelanjakan 100 peratus. Sebaliknya, harus menilai dan melihatnya berlandaskan faktor penghasilan kerja.
l Perlu memastikan setiap produk dan perkhidmatan yang dihasilkan termasuk dibelanjakan benar-benar membawa nilai ringgit kepada kerajaan.
l Hindari rasuah dan terus berpegang kepada nilai-nilai integriti.

No comments: