Tuesday, December 23, 2008

Hapus rasuah jamin industri lancar

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Satu cara memerangi rasuah ialah dengan mempercepatkan proses meluluskan cadangan untuk melaksanakan sesuatu perusahaan, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini.
Oleh itu, kata bekas Perdana Menteri, satu jadual perlu diwujudkan bagi proses kelulusan dan ketua kerajaan mestilah berminat memastikan jadual ini dipatuhi para pentadbir.
"Jika berlaku kelewatan, ketua kerajaan mesti bertanya khususnya apabila ada aduan diterima. Dengan cara ini, peluang dan ruang berlakunya rasuah dapat diminimumkan,'' katanya ketika membentang kertas kerja bertajuk Industri adalah Masa Depan Sebuah Negara pada persidangan Produk Buatan Yemen yang diadakan di Mukalla, Yemen hari ini. Teks beliau diedarkan di sini.
Dr. Mahathir berkata, pihak kerajaan perlu membasmi amalan rasuah bagi memastikan kecekapan pentadbiran yang membawa kepada pertumbuhan industri yang lancar dan kejayaan proses perindustrian sesebuah negara.
Katanya, pertumbuhan sektor perindustrian sukar dicapai jika amalan rasuah berleluasa dalam pentadbiran kerajaan kerana akan berlaku kelewatan yang boleh menyekat kemasukan pelabur.
Langkah mewujudkan undang-undang dan mengenakan hukuman berat ke atas pesalah rasuah sahaja tidak akan menjamin pembasmian amalan buruk itu yang sememangnya sukar untuk dihapuskan, tambahnya.

1 comment:

petrokoxi said...

老师你好!
恭喜!你的blog 现在很多人要钱,那个你写对了