Monday, December 15, 2008

Harga petrol, diesel bersubsidi nelayan turun 13 sen mulai selasa

13/12/2008 3:33pm
KUALA LUMPUR 13 Dis. — Harga diesel dan petrol bersubsidi nelayan diturunkan sebanyak 13 sen daripada RM1.43 seliter kepada RM1.30 seliter mulai 16 Disember, umum Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed hari ini.
Dengan pelaksanaan harga baru itu, kerajaan akan menanggung tambahan perbelanjaan kira-kira RM197 juta setahun, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mustapa berkata kerajaan akan terus mengekalkan bayaran elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan kepada pemilik individu vessel perikanan dan pekerja warga Malaysia yang bekerja di atas vessel berlesen.
Kerajaan juga akan mengekalkan bayaran insentif pendaratan ikan sebanyak RM0.10 sekilogram seperti yang diputuskan pada Jun lepas, katanya.
Beliau berkata penurunan harga diesel dan petrol bersubsidi akan memberi penjimatan perbelanjaan bahan bakar antara RM260 sehingga RM4,160 sebulan bergantung kepada zon tangkapan dan saiz vessel.
“Penjimatan bagi vessel pukat tradisi Zon A (kawasan operasi 0 hingga lima batu nautika dari pantai) adalah sebanyak RM260 sebulan, vessel pukat tunda Zon B (lima hingga 12 batu nautika) sebanyak RM2,600 sebulan.
“Vessel pukat tunda Zon C (12 hingga 30 batu nautika) sebanyak RM3,120 sebulan dan vessel pukat tunda Zon C2 (lebih 30 batu nautika) sebanyak RM4,160 sebulan,” katanya.
Mustapa berkata kerajaan juga pada 3 Nov lepas telah menambah kuota diesel dan petrol bersubsidi daripada 106 juta liter sebulan kepada 126 juta liter sebulan bagi menampung kegunaan diesel dan petrol akibat penambahan lesen vessel baru terutama lesen sampan sebanyak 15,900 buah yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan.
“Berikutan permohonan daripada pemilik vessel pukat tunda, kerajaan pada tarikh yang sama telah meluluskan tambahan kuota sebanyak 4,000 liter sebulan bagi setiap vessel pukat tunda Zon C dan C2,” katanya.
Beliau berkata penurunan harga serta tambahan kuota diesel dan petrol bersubsidi itu sewajarnya memberi pulangan tambahan kepada nelayan daripada segi pengurangan kos dan peningkatan pendaratan ikan.
— BERNAMA

No comments: