Tuesday, December 23, 2008

Risda bayar dividen RM207j

KUALA SELANGOR 22 Dis. - Sebanyak RM207 juta dividen dibayar kepada pekebun Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (risda) sejak 1982 sehingga akhir Oktober lalu.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, hasil dividen itu diperoleh daripada keuntungan ladang RTBB selain pendapatan saham dalam aktiviti perladangan.
Katanya, hasil itu diharap dapat digunakan oleh peserta untuk menyara kehidupan seharian dan tabungan sebagai persediaan kejatuhan harga getah.
''Kita telah bayar sebanyak RM207 juta dividen sejak 1982 untuk kegunaan pekebun dan pada masa yang sama, kita juga meminta peserta mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi kejatuhan harga getah kini,'' katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis penyerahan dividen RTBB Selangor di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah risda, Wan Mohamad Zuki Mohamad.
Pada majlis itu, seramai 306 pekebun RTBB seluruh Selangor menerima pembahagian dividen berjumlah RM1.172 juta untuk keuntungan sepanjang 2007.
Tambah Muhammad, pekebun RTBB menerima dividen yang tinggi kerana prestasi dan pasaran getah memberangsangkan untuk sepanjang tahun.
''Bagaimanapun, ketidakstabilan ekonomi yang baru bermula akan menyebabkan kejatuhan dalam permintaan getah di pasaran global.
''Ia menyebabkan harga getah jatuh malah mungkin dividen yang bakal dibayar pada tahun depan juga dijangka lebih rendah,'' katanya.
Jelasnya, risda kini mengambil inisiatif membantu meningkatkan produktiviti getah dalam Program Peningkatan Produktiviti Getah (PPG) untuk memberi pendedahan kepada usaha meningkatkan nilai tambah bagi hasil kebun.
''Kita mahu pekebun kecil dan generasi muda mengambil peluang ini untuk meningkatkan pendapatan isi rumah sekali gus mengurangkan kadar kemiskinan di luar bandar.
''Tanam apa saja yang boleh di belakang rumah. Selain hasilnya untuk digunakan sendiri, ia boleh menjadi pendapatan sampingan jika dijual di pasar,'' katanya.

No comments: