Monday, December 15, 2008

Pasangan pekak, bisu bertemu jodoh


IPOH 14 Dis. - Kalau sudah jodoh tidak ke mana. Begitulah perumpamaan bagi pasangan pengantin, Shahrizan Abdul Hamid, 30, dan Liana Ridzuan, 27, yang kedua-duanya sama-sama pekak dan bisu sejak kecil.
Kedua-dua mempelai selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri di sini hari ini.
Shahrizan yang berasal dari Felda Tenggaroh, Mersing, Johor dan Liana dari Kampung Seri Kinta di sini, membuktikan masalah komunikasi bukan halangan untuk mereka berdua bercinta sehingga berakhir ke jenjang pelamin seperti pasangan normal.
Walaupun tidak boleh bercakap dan mendengar, Shahrizan mampu menyempurnakan majlis akad nikah dengan adanya bantuan daripada jurubahasa isyarat Persatuan Orang Pekak Malaysia, Asma Nurul Ain Salim.
''Saya tidak menyangka perjumpaan secara tidak sengaja kami di Kompleks Medan Gopeng, empat tahun lalu akhirnya menyatukan kami hari ini," katanya menggunakan bahasa isyarat kepada Utusan Malaysia selepas berlangsungnya majlis akad nikah di Masjid Kampung Seri Kinta di sini hari ini.
Ditanya bagaimana mereka menyemai bibit-bibit cinta kerana kedua-dua pekak dan bisu, Shahrizan berkata, mereka berdua menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai pengantara untuk berhubung dan berkenalan.
''Dari SMS kami berkenalan antara satu sama lain termasuk mengenali hati budi masing-masing dan pernah juga beberapa kali berjumpa.
''Saya tertarik dengan Liana kerana dia seorang yang periang," tambahnya.
Sementara itu, Liana pula berkata, sifat penyabar Shahrizan yang sanggup melayan kerenahnya membuatkan dia tertarik untuk menjalinkan kemesraan dengan jejaka itu.
Menurut gadis itu, dia akan mengikut suaminya yang bekerja di sebuah kilang di Johor selepas selesai majlis perkahwinan tersebut.
''Mengenai masa depan selepas berumahtangga, saya berserah pada Allah dan saya terima sahaja berapa cahaya mata yang akan dikurniakan nanti," kata Liana.

No comments: