Tuesday, December 23, 2008

Hapus rasuah jamin industri lancar

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Satu cara memerangi rasuah ialah dengan mempercepatkan proses meluluskan cadangan untuk melaksanakan sesuatu perusahaan, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini.
Oleh itu, kata bekas Perdana Menteri, satu jadual perlu diwujudkan bagi proses kelulusan dan ketua kerajaan mestilah berminat memastikan jadual ini dipatuhi para pentadbir.
"Jika berlaku kelewatan, ketua kerajaan mesti bertanya khususnya apabila ada aduan diterima. Dengan cara ini, peluang dan ruang berlakunya rasuah dapat diminimumkan,'' katanya ketika membentang kertas kerja bertajuk Industri adalah Masa Depan Sebuah Negara pada persidangan Produk Buatan Yemen yang diadakan di Mukalla, Yemen hari ini. Teks beliau diedarkan di sini.
Dr. Mahathir berkata, pihak kerajaan perlu membasmi amalan rasuah bagi memastikan kecekapan pentadbiran yang membawa kepada pertumbuhan industri yang lancar dan kejayaan proses perindustrian sesebuah negara.
Katanya, pertumbuhan sektor perindustrian sukar dicapai jika amalan rasuah berleluasa dalam pentadbiran kerajaan kerana akan berlaku kelewatan yang boleh menyekat kemasukan pelabur.
Langkah mewujudkan undang-undang dan mengenakan hukuman berat ke atas pesalah rasuah sahaja tidak akan menjamin pembasmian amalan buruk itu yang sememangnya sukar untuk dihapuskan, tambahnya.

Nota makluman Akta Hubungan Kaum ke Kabinet

JOHOR BAHRU 22 Dis. - Kabinet akan memutuskan sama ada perlu meneruskan penggubalan Akta Hubungan Kaum selepas meneliti cadangan dan maklum balas daripada beberapa pihak yang relevan.
Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan memberitahu cadangan dan maklum balas itu akan dihantar bersama pandangan pihaknya dalam nota makluman kepada Kabinet pada 7 Januari ini.
"Ini bermakna belum ada sebarang keputusan dibuat sama ada Akta Hubungan Kaum ini akan diteruskan atau tidak," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan di sini hari ini.
Semalam, menteri berkenaan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, nota makluman Akta Hubungan Kaum bagi memelihara perpaduan dan keharmonian di negara ini akan dibentangkan kepada Kabinet pada 7 Januari ini.
Mohd. Shafie berkata, sebarang keputusan lanjut hanya akan dibuat selepas itu.
Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar mengumumkan kerajaan akan mewujudkan Akta Hubungan Kaum yang antara lain bermatlamat memelihara keselamatan dan perpaduan kaum di negara ini.

Harga barang dijangkaturun suku pertama 2009

TELUK INTAN 22 Dis. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yakin harga kebanyakan barangan akan turun dengan ketara pada suku pertama tahun depan.
Menterinya, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, penurunan harga itu dijangka berlaku selepas pihaknya mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pembekal, pembuat atau pengeluar serta pemborong mulai Januari depan.
''Pihak kementerian telah mendapat kerjasama yang baik daripada peruncit termasuk pemilik pasar raya besar asing dan tempatan dalam kempen menurunkan harga barang.
''Sebanyak 16 buah syarikat telah berusaha menurunkan harga jualan masing-masing dan kini sudah tiba masanya kita bertemu dengan pengeluar dan pemborong supaya kempen penurunan harga ketika keadaan ekonomi meleset menjadi lebih berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Penurunan Harga di pasar raya TF Value-Mart di sini hari ini.
Shahrir berkata, pertemuan dengan pihak pengeluar dan pemborong telah diadakan sebelum ini, namun mereka tidak mampu menurunkan harga kerana banyak faktor termasuk membeli stok bahan mentah pada harga tinggi.
Bagaimanapun, jelasnya, kebanyakan harga bahan mentah sekarang sudah turun dan amat wajar bagi pengeluar dan pemborong mula menurunkan harga demi kepentingan pengguna.
Katanya, antara bahan mentah yang menunjukkan penurunan harga adalah gula, tepung, beras dan susu.
''Kita akan minta mereka turunkan harga supaya pihak peruncit dapat menurunkan lagi harga barangan.
''Jika pengeluar tidak turunkan harga, perniagaan mereka juga yang akan rugi kerana dalam keadaan ekonomi menguncup, pengguna tidak mampu lagi membeli harga barangan yang terlalu mahal," ujar beliau.
Tambahnya, pada masa sama, pihak kementerian akan turut mengadakan pertemuan dengan Petronas untuk meminta syarikat itu menurunkan harga minyak pelincir.

Harga ayamdi ladang RM3.80

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Harga ayam di ladang kini turun sebanyak 40 sen kepada RM3.80 sekilogram berbanding RM4.20 sekilogram pada 18 Julai lalu, iaitu paras terendah sejak enam bulan lalu.
Pengerusi Unit Ayam Daging Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, (FLFAM), Kwei Yew Tong berkata, mekanisme permintaan dan penawaran memainkan peranan penting untuk menentukan harga ayam di peringkat ladang.
''Naik turun harga ayam di ladang adalah seiring dengan jumlah penawaran ayam di peringkat ladang dan permintaan daripada pengguna di pasaran," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Harga ayam di ladang mencapai paras tertinggi iaitu RM5.10 pada 7 Ogos lalu.
Yew Tong berkata, pihaknya mengumumkan harga ayam di ladang dari semasa ke semasa bagi membantu para pengguna membuat pilihan untuk membeli ayam atau sebaliknya.
Kata beliau, orang ramai juga boleh melayari laman web persatuannya.

Risda bayar dividen RM207j

KUALA SELANGOR 22 Dis. - Sebanyak RM207 juta dividen dibayar kepada pekebun Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (risda) sejak 1982 sehingga akhir Oktober lalu.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, hasil dividen itu diperoleh daripada keuntungan ladang RTBB selain pendapatan saham dalam aktiviti perladangan.
Katanya, hasil itu diharap dapat digunakan oleh peserta untuk menyara kehidupan seharian dan tabungan sebagai persediaan kejatuhan harga getah.
''Kita telah bayar sebanyak RM207 juta dividen sejak 1982 untuk kegunaan pekebun dan pada masa yang sama, kita juga meminta peserta mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi kejatuhan harga getah kini,'' katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis penyerahan dividen RTBB Selangor di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah risda, Wan Mohamad Zuki Mohamad.
Pada majlis itu, seramai 306 pekebun RTBB seluruh Selangor menerima pembahagian dividen berjumlah RM1.172 juta untuk keuntungan sepanjang 2007.
Tambah Muhammad, pekebun RTBB menerima dividen yang tinggi kerana prestasi dan pasaran getah memberangsangkan untuk sepanjang tahun.
''Bagaimanapun, ketidakstabilan ekonomi yang baru bermula akan menyebabkan kejatuhan dalam permintaan getah di pasaran global.
''Ia menyebabkan harga getah jatuh malah mungkin dividen yang bakal dibayar pada tahun depan juga dijangka lebih rendah,'' katanya.
Jelasnya, risda kini mengambil inisiatif membantu meningkatkan produktiviti getah dalam Program Peningkatan Produktiviti Getah (PPG) untuk memberi pendedahan kepada usaha meningkatkan nilai tambah bagi hasil kebun.
''Kita mahu pekebun kecil dan generasi muda mengambil peluang ini untuk meningkatkan pendapatan isi rumah sekali gus mengurangkan kadar kemiskinan di luar bandar.
''Tanam apa saja yang boleh di belakang rumah. Selain hasilnya untuk digunakan sendiri, ia boleh menjadi pendapatan sampingan jika dijual di pasar,'' katanya.

Monday, December 22, 2008

Ujian saringan HIV bukan sekat pasangan kahwin

JOHOR BAHRU 21 Dis. – Kementerian Kesihatan menegaskan ujian saringan HIV yang akan diwajibkan kepada semua bakal pengantin beragama Islam bukan untuk menyekat mana-mana individu daripada berkahwin.
Menterinya, Datuk Liow Tiong Lai berkata, tindakan tersebut sebenarnya dapat memberi peluang kepada individu berkenaan untuk mengetahui tahap kesihatan diri masing-masing.
Katanya, sehingga kini, antara 0.05 hingga 0.1 peratus pasangan yang menjalani ujian saringan HIV praperkahwinan didapati positif.
“Sehubungan itu, saya mengalu-alukan semua bakal pengantin untuk tampil melaksanakan ujian dan kaunseling yang percuma tanpa mengira status agama.
“Pasangan yang bukan beragama Islam juga digalakkan menjalani ujian saringan tersebut. Langkah untuk mengetahui status HIV adalah tindakan yang terbaik sebelum kita terlambat mengetahuinya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Gaya Hidup Sihat dan Kempen Kesedaran HIV bersempena dengan Hari AIDS Sedunia 2008, di sini hari ini.
Program itu anjuran ahli Lembaga Pelawat Hospital Sultanah Aminah dengan kerjasama Persatuan Tindakan dan Penyelidikan AIDS Johor.
Turut hadir Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Mohd. Khairi Yakub, Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Sultanah Aminah (HSA), Md. Ali Alwee dan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Tambah Tiong Lai, sehingga akhir 2007, seramai 80,938 orang disahkan positif HIV.
“Ekoran daripada program kawalan dan pencegahan yang dilaksanakan, trend jangkitan HIV telah mula menurun iaitu daripada 6,978 kes atau 28.5 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada 2002 kepada 4,549 kes atau 16.7 kes bagi 100,000 penduduk pada 2007.
“Bagi 2008, diunjurkan sebanyak 3,452 kes jangkitan HIV atau 12.8 kes bagi setiap 100,000 penduduk,” katanya.
Katanya, melihat kepada tren penurunan tersebut, tidak mustahil untuk Malaysia mencapai matlamat pembangunan alaf sebelum 2015 iaitu menurunkan jangkitan HIV kepada 11 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

DETIK BERSEJARAH...



Tiada hari yang paling gembira dan meninggalkan kenangan manis bagi Md. Rosdi Dolah, 48, dan anaknya Siti Nabila, 23, melainkan hari persandingan mereka yang diadakan serentak di Baling, Kedah.
Md. Rosdi dan pasangannya Uteh Mariah Abdul Hamid, 45, serta Siti Nabila bersama suaminya Mohd. Shahidan Ghazali, 24, menjadi perhatian tetamu apabila disandingkan bersama pada majlis perkahwinan mereka yang meriah dihadiri kaum keluarga dan rakan-rakan.

Syor kerajaan naik gaji doktor pakar dalam negara

Kerajaan diminta menumpukan kepada kebajikan pakar perubatan dalam negara seperti menaikkan gaji berbanding mengajak mereka yang sedang berkhidmat di luar negara pulang ke tanah air. Presiden Alumni Doktor Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Haron Ahmad, berkata lebih baik jika kerajaan mengambil langkah tertentu bagi memastikan pakar perubatan yang sedang berkhidmat dalam negara berhijrah tidak ke sektor swasta. "Sebenarnya, negara tidak mengalami kekurangan pakar perubatan kerana difahamkan ramai daripada mereka tertumpu di kawasan bandar selepas berpindah ke sektor swasta.
Justeru, kerajaan perlu menjaga kebajikan, terutama gaji setimpal kepada pakar sedia ada daripada memberi pelbagai keistimewaan yang melampau kepada pakar tempatan yang berkhidmat di luar negara," katanya selepas Kejohanan Lawan Pedang Kebangsaan Grand Prix 3/2008, di Dewan Warisan di sini semalam. Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah, turut berangkat. Hadir sama Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Brig Jen Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin. Dr Haron berkata, tidak adil untuk membezakan tahap kepakaran pakar perubatan hanya kerana golongan terbabit berpeluang melanjutkan pelajaran di luar negara.
Beliau juga berkata tindakan membezakan itu boleh mewujudkan persepsi orang ramai kononnya pakar perubatan luar negara adalah yang terbaik. "Walaupun gaji ditawarkan kerajaan kepada pakar dan doktor tempatan sekarang realistik, tumpuan lebih perlu difikirkan untuk mengelak mereka berpindah ke sektor swasta," katanya. Beliau berkata, pakar perubatan yang mendapat bantuan kewangan kerajaan seharusnya pulang berkhidmat tanpa perlu meminta keistimewaan dan gaji yang tinggi. Katanya, golongan itu tidak boleh menyamakan gaji yang diperoleh di luar negara dengan Malaysia kerana kos sara hidup di sini lebih rendah.
"Pakar yang berkhidmat di luar negara tidak perlu dipujuk untuk pulang kerana menjadi tanggungjawab mereka sendiri untuk berbakti kepada negara selepas menerima bantuan kerajaan," katanya.

Harapan leraikan kes Nurin


Polis guna sistem baru jelaskan imej lelaki misteri dalam CCTVKUALA LUMPUR: Polis mendapat harapan baru bagi meleraikan kebuntuan siasatan kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin apabila sebuah syarikat tempatan menawarkan teknologi yang dikatakan mampu menjelaskan imej lelaki bermotosikal dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tempat penemuan mayat kanak-kanak itu. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata teknologi dari luar negara itu diharap dapat memberi petunjuk baru bagi membantu polis menyelesaikan kes berkenaan.

Beliau berkata, teknologi itu dikatakan mampu menjelaskan imej rakaman CCTV terbabit, terutama nombor pendaftaran motosikal yang digunakan lelaki yang dikaitkan dengan kes pembunuhan Nurin. "Sebelum ini kita menghantar rakaman CCTV itu kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI), namun ia tidak banyak membantu. "Imej dalam rakaman itu masih tidak dapat dijelaskan dan ini menyukarkan kita mengenal pasti suspek termasuk nombor pendaftaran motosikal yang digunakan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) di sini, semalam.

Difahamkan, polis akan mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat berkenaan pada minggu ini bagi membincangkan lebih terperinci mengenai sistem dan teknologi yang ditawarkan itu. Nurin Jazlin, 8 tahun, ditemui mati selepas 27 hari dilaporkan hilang ketika keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, 20 Ogos tahun lalu. Mayat murid Tahun Dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak itu ditemui dalam sebuah beg sukan yang ditinggalkan di depan sebuah premis perniagaan di Petaling Jaya dan hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat didera secara seksual. Bapa Nurin Jazlin, Jazimin Abd Jalil, ketika dihubungi pula gembira selepas sekian lama tidak mendengar sebarang perkembangan mengenai siasatan kes pembunuhan anaknya.
"Saya orang paling gembira sekiranya sistem berkenaan mampu menjelaskan rakaman CCTV itu. Sekurang-kurangnya jika ia berjaya mendapatkan nombor pendaftaran motosikal dalam rakaman itu, saya percaya itu sudah mencukupi. "Sekiranya pembunuh anak saya dapat ditahan, bukan saja saya, mungkin seluruh rakyat negara ini akan tumpang gembira. Setidak-tidaknya, kematian anak saya terbela," katanya.

Sunday, December 21, 2008

600 bantah ladang ternak babi di Kuala Sungai Baru

Penduduk mahu pemimpin Melayu, Islam campur tangan ALOR GAJAH: Seramai 600 penduduk Kuala Sungai Baru berhimpun secara aman bagi membantah kewujudan ladang ternakan babi di penempatan mereka di dewan Hotel Riverside, Masjid Tanah, dekat sini, kira-kira jam 8 pagi semalam. Bantahan dianjurkan Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) turut disertai Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Dakwah dan Islamiah Malaysia (Pekida), Persatuan Chalet Bumiputera Melaka (PPCBM) dan Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM).
Pada majlis itu, Timbalan Pengerusi Pewaris, Rahimuddin Md Harun, menyerahkan memorandum bantahan kepada Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman Yusop yang hadir untuk disampaikan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Rahimuddin berkata, bantahan itu dianjurkan bagi membantu penduduk Islam di Kuala Sungai Baru menikmati hidup lebih tenteram dan bebas pencemaran babi dari ladang haiwan itu yang sudah beroperasi kira-kira 50 tahun lalu. "Pada program ini kita berjaya menyampaikan memorandum kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah bagi membolehkan disampaikan kepada Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Ali Rustam).
"Selepas ini kita akan menghantar memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Pembangkang yang juga Penasihat Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. "Kita mahu memorandum ini dihantar kepada semua pemimpin Islam dan Melayu supaya mereka dapat membincangkan serta memperjuangkan nasib penduduk Melayu dan Islam di Kuala Sungai Baru," katanya. Hadir sama, Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Ma'amor Osman dan Pengerusi PPCBM, Zakaria Othman. Difahamkan, bantahan itu diadakan berikutan kejadian penemuan kali kedua bangkai kepala babi yang digantung pihak tertentu di atas sebidang kain rentang yang dipasang di pagar Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak, berhampiran sebuah bulatan menuju ke Kampung Pengkalan Balak, kira-kira jam 7 pagi, Rabu lalu.
Sebelum itu, pada 13 November lalu, kepala babi ditemui tergantung di pagar rumah seorang pesara guru di Kampung Ujong Padang, dekat sini. Susulan kejadian itu, penduduk serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) memprotes tindakan biadap itu sehingga membawa kepada demonstrasi secara aman, selain beberapa aduan polis dibuat. Perbuatan itu dianggap sebagai penghinaan kepada masyarakat Islam di situ selain cuba menjejaskan perniagaan perhotelan. Polis sebelum ini menahan tiga individu berkaitan kes itu pada 13 November lalu, tetapi dibebaskan semula selepas disahkan tidak terbabit.

Thursday, December 18, 2008

Perpaduan misi PM

Pak Lah mahu reda ketegangan kaum, agama sebelum bersara

KUALA LUMPUR: Selepas Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008 diluluskan Parlimen, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan memberi tumpuan pula terhadap misi terakhirnya untuk meredakan ketegangan kaum dan agama di kalangan rakyat sebelum melepaskan jawatannya, Mac depan. Perdana Menteri berkata, kemelesetan ekonomi dan jurang perbezaan di antara orang Melayu dan Cina serta India adalah ancaman terbesar yang dihadapi negara ini.

"Memandangkan saya akan bersara lebih awal daripada yang saya rancang, (perubahan) itu perlu dilakukan segera. "Saya fikir bagaimana untuk mengendalikan isu hubungan kaum dan ketegangan agama kerana banyak perkara seperti ini berlaku. Orang Islam berfikir dari perspektif sendiri dan bukan Islam berfikir dari perspektif mereka sendiri," katanya kepada The Associated Press (AP), semalam. Abdullah berkata, beliau boleh mewujudkan institusi "untuk semua komuniti" bagi menyuarakan permasalahan mereka. Katanya, permasalahan itu juga boleh ditangani dengan mewujudkan perundangan baru bagi menjelaskan keraguan dalam undang-undang berkaitan pertikaian agama.

Umat Islam di negara ini dilindungi undang-undang syariah berkaitan hal keluarga dan peribadi, manakala masyarakat Cina, India dan kaum lain pula tertakluk di bawah Mahkamah Sivil. Bagaimanapun, tiada garis panduan jelas mengenai mahkamah mana yang mempunyai kuasa lebih besar apabila timbul pertikaian di antara orang Islam dan bukan Islam hingga mencetuskan kekeliruan, termasuk dalam kes menuntut mayat orang India atau Cina yang memeluk Islam tanpa pengetahuan saudara si mati. "Sebahagian orang (di luar Malaysia) ketawa dalam hal itu dan berkata: Apa sebenarnya perkara ini? Tetapi ia tidak kelakar sebenarnya. Ini adalah isu yang amat, amat serius," kata Perdana Menteri. Sementara itu, Abdullah berkata beliau tidak berhasrat melupuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
"Penahanan untuk mencegah mempunyai peranan dalam mana-mana masyarakat dan dalam mana-mana negara demokrasi. Tetapi pemimpin sesebuah negara juga amat perlu berhati-hati bagaimana untuk mengamalkan undang-undang ini," katanya.

Wednesday, December 17, 2008

Utara: Pasar raya sahut kempen turun harga barang

GEORGETOWN: Rangkaian Pasaraya Sunshine milik Suiwah Corporation Berhad (Suiwah) menyahut seruan kerajaan dengan menyertai kempen penurunan harga bagi meringankan bebanan rakyat. Sebanyak 600 jenis barang yang merangkumi makanan segera, kering, sejuk beku, produk penjagaan diri dan keperluan harian dikurangkan kurang sehingga 30 peratus sejak 8 November lalu. Pengarah Sunshine Amanjaya Sdn Bhd merangkap Ahli Lembaga Pengarah Suiwah Corporation Berhad, Datuk Abdul Rafique Abdul Karim, berkata kempen penurunan harga itu sepatutnya berakhir hujung bulan ini tetapi dilanjutkan sehingga 31 Januari depan.
"Penurunan harga ini diharap dapat meringankan beban pengguna terhadap barang keperluan harian. Ini sebahagian daripada tanggungjawab kami kepada masyarakat," katanya. Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen itu oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad di pasar raya itu di Bayan Baru, kelmarin. Lima pasar raya Sunshine yang menyertai kempen berkenaan ialah Sunshine Farlim Hypermarket, Sunshine Jelutong, Sunshine Bukit Mertajam dan Pasaraya Sui Wah Ayer Itam.
Sementara itu, Abdul Rafique berkata, syarikat itu akan membuka satu lagi cawangan pasar raya di negeri ini yang dijangka membuka peluang pekerjaan kepada 1,000 orang. Katanya, walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu tetapi syarikat terus berkembang, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup rakyat.

6 langkah proaktif elak gawat ekonomi - Najib


PUTRAJAYA 16 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggariskan enam langkah proaktif yang perlu digerakkan semua agensi dan kementerian bagi mengelakkan negara terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi terutama tahun depan yang membawa kegelisahan rakyat.
Sambil menyifatkan tahun-tahun akan datang begitu mencabar, Timbalan Perdana Menteri menegaskan, langkah-langkah itu termasuk berpegang teguh kepada nilai integriti dengan menghapuskan rasuah serta membantu mengukuhkan sistem penyampaian kerajaan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan mengakui kerajaan ketika ini berusaha memastikan permintaan domestik berada pada tahap setinggi mungkin, menentukan sektor perbankan mempunyai kecairan mencukupi serta menetapkan rangsangan fiskal berjalan mengikut jadual.
''Tentu sekali kita semua akan terasa beban cabaran yang harus dipikul sebab rakyat meletakkan harapan besar kepada kerajaan untuk menyelamatkan negara daripada terjerumus ke lembah kemelesetan ekonomi," katanya.
Beliau berucap menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Kualiti Perbendaharaan Malaysia 2008 di Kementerian Kewangan di sini.
Najib berkata, keenam-enam langkah proaktif yang perlu dilaksanakan semua agensi dan kementerian adalah seperti berikut:
l Modal keintelektualan mesti diperkukuhkan. Ini bererti segala kepakaran ilmu dan pengkhususan yang berkaitan pengurusan ekonomi dan kewangan negara harus diperkuatkan bagi membolehkan kerajaan membuat keputusan-keputusan yang tepat dan kena pada tempat serta masanya.
l Perlu menambah tahap efisien daripada peringkat paling asas kepada yang lebih canggih. Dalam konteks ini, Kementerian Kewangan sebagai agensi pusat juga memberikan khidmat kepada agensi-agensi lain. Oleh itu, jika dapat menyelesaikan sesuatu fail dengan lebih singkat misalnya, maka tahap efisien ini akan tercapai.
l Dalam keadaan dunia yang mencabar hari ini, semua pihak perlu mencerna idea yang lebih inovatif dan kreatif. Untuk mencapainya, mereka tidak boleh lagi memakai cara lama dalam persekitaran sekarang.
l Tidak boleh lagi melihat kerja-kerja yang dilaksanakan semata-mata kerana peruntukan yang diberikan telah dibelanjakan 100 peratus. Sebaliknya, harus menilai dan melihatnya berlandaskan faktor penghasilan kerja.
l Perlu memastikan setiap produk dan perkhidmatan yang dihasilkan termasuk dibelanjakan benar-benar membawa nilai ringgit kepada kerajaan.
l Hindari rasuah dan terus berpegang kepada nilai-nilai integriti.

Tuesday, December 16, 2008

Melayu mesti bangkit bersatu pertahan kepentingan bangsa

Oleh M Jasni Majed

SELEPAS kekalahan Umno di lima negeri pada pilihan raya umum Mac lalu, banyak kenyataan diluahkan pelbagai pihak. Seorang penganalisis politik dalam tulisannya di sebuah akhbar tempatan beberapa hari selepas pilihan raya itu menyatakan orang Melayu sibuk mengumpul pengikut berarak di jalan raya, tetapi orang Cina sibuk mengumpul ahli untuk menguatkan parti. Selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 itu juga, senario politik negara berubah kerana pelbagai pertikaian dilakukan oleh pihak tertentu ke atas orang Melayu, termasuk dari segi bahasa, hak keistimewaan dan status bangsa Melayu di negara ini. Di Pulau Pinang umpamanya, Gerakan berusaha meletakkan papan tanda pelbagai bahasa di negeri berkenaan konon untuk memudahkan pelancong, terutama dari luar negara.
Di sekitar kawasan tapak Warisan Dunia di Georgetown juga dicadangkan supaya papan tanda pelbagai bahasa dinaikkan. Berbeza pula dengan tapak warisan itu di Melaka yang tidak cuba dipelbagaikan bahasanya sedangkan di situ juga bukan hanya pelancong tempatan yang akan datang dan mengerumuninya. Tindakan dan kenyataan berbau politik terus melanda negara, termasuk isu menyentuh Dasar Ekonomi Baru (DEB), pendidikan dan sebagainya. Semua ini mencabar kedudukan Melayu dan jika tidak ditangani dengan bijak, kekuatan Melayu akan hilang dan identiti Melayu akan terhakis sedikit demi sedikit di tanah air sendiri. Titah ucapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak lama dulu yang meminta orang Melayu memperkukuh kedudukan adalah sebagai satu peringatan kepada bangsa Melayu agar memperkuat semula kedudukan selepas dirasakan berada dalam keadaan tidak menentu, dicabar dan diperlekehkan dalam pelbagai aspek.
Baginda juga menegaskan bahawa sebarang pindaan Perlembagaan yang menyentuh Raja-Raja dan bidang kuasa Raja Pemerintah merangkumi bidang agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan orang Melayu serta Bumiputera di Sabah dan Sarawak mesti mendapat perkenan Raja-Raja terlebih dulu. Kemelut politik melanda negara pada masa ini dikaitkan dengan wujudnya tidak sefahaman di kalangan orang Melayu dalam menentukan kedudukan mereka dalam politik. Perebutan kuasa, amalan politik wang dan tiadanya kerjasama di kalangan orang Melayu dalam menjaga maruah bangsa, terutama rakyat akan menjejaskan kestabilan negara kerana wujudnya rasa tidak puas hati di kalangan rakyat atas sesuatu tindakan dan pelaksanaan. Maka, pemimpin dan orang Melayu sendiri tidak kira atas apa fahaman politik sekalipun mesti duduk berbincang dan mencari jalan penyelesaian supaya kestabilan politik serta ekonomi dapat dibentuk dan dapat dinikmati bersama. Kita tentunya bersyukur kerana beberapa minggu lalu Ahli Parlimen beragama Islam daripada Barisan Nasional (BN) dan parti pembangkang bersatu untuk memastikan keluhuran dan kedudukan agama Islam di negara ini terpelihara.
Di samping itu, Umno mestilah memainkan peranan dalam memperkasa semula bangsa dan kedudukan Melayu agar tidak mudah dicabar dan diperlekeh. Jentera parti sepatutnya menumpukan ke arah usaha menaikkan semula imej parti, mencari dan menilai kelemahan kemudian memperbaikinya supaya keyakinan rakyat terhadap parti menjadi semakin kuat. Di pihak rakyat pula, Melayu mestilah bersatu dan memikirkan kaedah terbaik untuk menjayakan semua kempen dan program kerajaan supaya negara dapat terus dibangunkan dan yang pentingnya keluhuran agama dapat dipelihara. Orang tua-tua ada mengatakan, 'lidi sebatang mudah dipatahkan, jika banyak, hendak dilentur pun susah.' Percakaran dan perbalahan dalam politik yang membawa kepada ketaksuban sehingga di kalangan orang Melayu sendiri memulau bangsa sendiri dan mementingkan pula bangsa lain akan memburukkan keadaan. Kesimpulannya, jika orang kita masih lena dengan 'serangan' halus pihak yang mahu memecahbelahkan kita, maka makin bertambahlah di kalangan orang kita yang terpaksa turun longkang, mengaut sampah untuk menyambung hidup di tanah air sendiri. Penulis, seorang pendidik dan penulis bebas

Harga petrol, diesel turun 10 sen lagi

Oleh Haika Khazi mfaizul@bharian.com.my

PUTRAJAYA: Harga runcit petrol dan diesel turun 10 sen lagi berkuat kuasa hari ini, menjadikan harga petrol RON97 kini RM1.80 seliter, manakala petrol RON92 dan diesel RM1.70 seliter. Penurunan kali kedua bulan ini dan ketujuh sejak dinaikkan berikutan penyusunan semula subsidi minyak pada 5 Jun lalu juga menjadikan harga runcit petrol RON97 12 sen lebih rendah berbanding RM1.92 seliter, iaitu paras sebelum dinaikkan 78 sen kepada RM2.70 seliter. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam satu kenyataan semalam berkata, pengurangan harga runcit petrol dan diesel sejajar penurunan harga minyak mentah dunia.
Berkuat kuasa tarikh sama, harga petrol dan diesel subsidi bagi nelayan diturunkan 13 sen seliter daripada RM1.43 sen seliter kepada RM1.30 seliter seperti diumumkan sebelum ini,” katanya. Mengikut formula penyelarasan harga bahan api berikutan penstrukturan semula subsidi minyak 5 Jun lalu, harga runcit petrol dan diesel ditetapkan pada setiap awal bulan berdasarkan purata bulanan harga minyak mentah dunia, selepas ditolak subsidi kerajaan. Bagaimanapun, kerajaan mempercepatkan penurunan harga runcit sejajar aliran harga minyak mentah dunia supaya rakyat dapat menikmatinya segera.
Kerajaan mengumumkan penurunan harga pertama pada 23 Ogos lalu dengan petrol RON97 dan RON92 masing-masing turun 15 sen dan 22 sen kepada RM2.55 dan RM2.40 seliter, manakala harga diesel dikurangkan lapan sen kepada RM2.50 seliter. Ini diikuti pada 25 September lalu, apabila harga runcit bahan api berkenaan sekali lagi diturunkan 10 sen menjadikan harga petrol RON97 pada RM2.4; RON92 (RM2.30) dan diesel (RM2.40) seliter. Pada 15 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan penurunan harga kali ketiga dengan harga petrol RON97 dikurangkan 15 sen seliter kepada RM2.30, RON92 turun 10 sen seliter kepada RM2.20 dan diesel 20 sen seliter kepada RM2.20. Penurunan kali keempat harga runcit bahan api sebanyak 15 sen seliter pula berkuat kuasa 1 November dengan harga petrol RON97 pada RM2.15 seliter dan RON92 pada RM2.05 seliter, manakala diesel pada RM2.05 seliter.
Ini diikuti penurunan kali kelima, juga 15 sen berkuat kuasa 18 November, menjadikan harga petrol RON97 RM2 seliter, RON92 RM1.90 seliter dan diesel RM1.90 seliter. Berkuat kuasa 3 Disember lalu, harga runcit petrol dan diesel diturunkan 10 sen lagi menjadikan harga RON97 hanya RM1.90 seliter berbanding RM2 seliter sebelumnya manakala petrol RON92 dan diesel RM1.80 seliter berbanding RM1.90 seliter.

Presiden Bush diaibkan-HAHA Kena baling kasut..congrats!!!

MUNTAZER ditangkap pegawai keselamatan Iraq selepas melempar kasut ke arah Bush pada sidang media di Baghdad, semalam.

Wartawan Iraq baling kasut, memanggilnya 'anjing' BAGHDAD: Seorang wartawan televisyen Iraq melemparkan kasut kepada Presiden Amerika Syarikat, George W Bush dan memanggilnya 'anjing' pada satu sidang akhbar di Baghdad kelmarin. Tindakan luar kawalan wartawan terbabit, Muntazer al-Zaidi menyebabkan pegawai keselamatan Iraq dan ejen khidmat rahsia Amerika Syarikat tergamam. Mereka terus meluru ke arahnya dan menariknya menyebabkan berlaku pergelutan sebelum dia dibawa keluar dari bilik tempat Bush dan Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki mengadakan sidang akhbar.
Bagaimanapun kasut berkenaan tidak mengenai sasaran. Bush sempat mengelak ketika berdiri di sebelah Maliki dan terkena dinding di belakangnya manakala satu lagi kasut terkena bendera Amerika Syarikat dan Iraq. Bush hanya tersenyum tapi jelas nampak terganggu dengan kejadian itu. "Saya langsung tak kisah," kata Bush sambil meminta semua bertenang berikutan kekecohan di bilik persidangan itu.
Ketika ditanya kejadian berkenaan, Bush berkata "saya tidak merasakan terancam dengan kejadian berkenaan. Jika anda mahukan fakta, kasut itu mempunyai saiz 10," katanya. Beberapa wartawan Iraq lain memohon maaf bagi pihak rakan mereka itu yang dikenali sebagai wartawan sebuah televisyen. Bush tiba di Baghdad kelmarin sebagai lawatan selamat tinggal sebelum beliau mengakhiri tugas sebagai presiden Januari ini. Dalam perjalanan ke Kabul, Bush memberitahu pemberita kejadian berkenaan mengimbas kembali kejadian pada April 2006 apabila seorang anggota pergerakan spiritual Falungong mengganggu ketibaan rasmi Presiden China, Hu Jintao di pekarangan Rumah Putih.
Bush yang mempertahankan serangan terhadap Iraq pada 2003, menolak anggapan bahawa wartawan berkenaan mewakili rakyat Iraq keseluruhannya. "Saya tidak fikir anda boleh menganggap seorang lelaki melempar kasut dan kemudian menyatakan dia mewakili orang lain di Iraq," katanya. – Reuters/AFP

Monday, December 15, 2008

The Highest Position In The World!

Do you know who is sitting in
The Highest Position of the World ?!

U.S President , George Bush ?
NO
Osama Bin Laden ?
NO
UN General Secretary ?
NO
Pope Benedict ?
NO


I Will Tell You
But Please
Don't Wonder

LAWAK BANGLA...

Cerite brmula d satu station minyak. D station minyak nie ada 2 org pekerja bangla yg tau cakap melayu skit, omputih skit & bahasa bangla yg sememangnye dia pro. Sorg tu namanye Majid & seorg lg namanye Iqbal.Pd satu arie berhenti sebuah kete mewah, mercedes utk mengisi minyak. Pemandu kete tu seorg Pak Arab. Kebetulan pula minyak d pam minyak tu dah abis, nie yg membuatkan Iqbal poning kepalo nak bgtau pd Pak Arab tu yg minyak dah abih. Pak Arab tu lak tak tau sepatah haram bahasa melayu, cuma tau omputih skit & bahasa arabnye ler..
Iqbal bgtau PakArab tu sambil menyebut "fuel" & dsusuli gerakan memusingkan tangan menandakan minyak abih, tapi Pak Arab tu ternganga tak paham. Iqbal coba lg sekali dgn menyebut "fuel" & disusuli gerakan memusingkan kepala, tapi Pak Arab tu ternganga luas tak paham!!..
Iqbal tak tau nak wat camner..dia pon gi kat Majid utk menerangkan situasi sebenar. Mereka bercakap dlm bahasa bangla, & bunyiknye cam nie..
Iqbal: Majid, tolong aku majid, Pak Arab tu tak tau minyak dah abih..
Majid: ala...ko cakap je la..minyak dah abih..
Iqbal: dah cakap dah, tapi dier tak paham...aku lak, tak tau cakap omputih.. Yes , No, Alrite & I lap U tau ler..
Majid: Aku pun tak tau gak cakap omputih...
Iqbal: ala...ko tolong ler aku..Majid: ok...aku tau sikit-sikit cakap arab..Lalu pergi la..si Majid kat Pak Arab tu & dgn selamba dek..nye berkata;"Fuel!, Sodoqallah'hul. .azim", baruler..Pak Arab tu paham & teros blahhh...

40 TIPS UNTUK JIMAT PETROL KERETA

1. Servis kereta ikut jadual - kereta yg di maintain dgn baik akan beroperasi pada kecekapan maksimum
2. Penapis udara dan penapis minyak petrol kena check! (Penapis minyak petrol kene tukar 40 000 km sekali)
3. Spark plug perlu dlm keadaan baik ( Tak hitam & gap OK )
4. Tayar perlu diisi angin dgn pressure yg betul, kalu tayar tak cukup angin, minyak makan...
5. Pakai kereta yg CC rendah tapi kalau nak pakai yg CC tinggi pun boleh cuma system kene bagus la macam Honda i-VTEC, Toyota VVTi atau pakai sistem
6. Jangan tarik pick-up lebih 3000 rpm setiap gear , tapi sekali-sekala boleh la takut engin lemau
7. Go slow man ! jangan speeding .90-100 km/j tu kira ok la.., tapi kalau terbakar sebab ada orang ajak race - kejar.. jgn tak kejar
8. Elakkan kesesakkan jalan raya, lagi lama tersangkut (engin idle) lagi makan minyak (kene tukar gear selalu)
9. Kalau parking menunggu tu, matikan engin
10. Berkongsi kereta
11. Naik motor (4 lejang)
12. Naik Basikal
13. Naik pengangkutan awam
14. Guna tayar kereta yang low profile dan ada special rubber compound (Grip tinggi rintangan kurang)
15. Pakai rim tayar biasa dah le, kalu nak pakai sport rim biar sesuai dgn kereta (dapat pakai macam rim motor lagi bagus - ringan maa... macam kereta klasik)
16. Isi minyak kat stesen minyak yang pakai meter analog
17. Tingkatkan tahap kecekapan pembakaran engin, kalau kereta biasa - 80% daripada campuran bahan api dibakar dgn sempurna. Kalau nak tingkatkan ke 90% pakai high frequency converter dlm sistem spark plug seperti Stromberg ataupun pakai special magnet pada talian minyak (Dah terbukti !!!)
18. Isi minyak slow-slow masa kat stesen minyak. Isi minyak sambil minum kopi dan borak-borak
19. Elakkan jalan berbatu dan tanah merah
20. Gunakan engin Hybrid (gas-electric)
21. Guna engin Electric (pakai bateri)
22. Gunakan tenaga solar
23. Kurangkan penggunaan air-con,
24. Kalau kat highway tu, cucuk angin kereta lain (follow belakang kereta lain utk kurangkan daya tolakan angin (Di sarankan cucuk angin kereta yg power sahaja seperti Mercedes, BMW, EVO )
25. Buang Catalytic converter pada system ekzos dan ganti dgn free flow center bullet (Tapi sebelum buat pastikan tahap kecekapan pembakaran engin anda ditingkatkan, kalu tidak banyak asap keluar beb)
26. Ganti ekzos belakang dgn free flow ekzos (Kalu takut bising, cari yg brand baik punyeee, mesti marii)
27. Loweredkan kereta anda
28. Pakaikan kereta anda skirt labuh tapi jangan cecah jalan dah la.Ini bertujuan untuk kurangkan rintangan angin, tapi skirt tampal tak main sebab takut angin tembus
29. Kalau nak pergi kedai kat rumah tu, jalan kaki lagi bagus, boleh exercise
30. Cari tempat kerja dekat dgn rumah, kalau dapat tidur,makan, berak,mandi kat office lagi best.
31. Petrol mudah terpeluwap, jadi kalau nak isi minyak isi time pagi atau waktu sejuk dan kalau dapat parking tempat redup lagi best. Cuba korang kene jemur.. masak dibuatnye.
32.. Kalau nak isi petrol kat stesen minyak pastikan isi penuh, tak payah nak ulang alik cari stesen minyak
33. Jangan bawak banyak barang. Kalau boleh bawak yg perlu sahaja. Penggunaan minyak bergantung kepada weight/power ratio - power kereta dah fix, bila berat bertambah - nisbah meningkat dan penggunaan minyak pun meningkat. Lagi satu, cuba-cubalah kuruskan badan tu sikit dan turunkan perut tu....
34. Tinted cermin kereta anda (Semua cermin). Lagi kurang cahaya matahari masuk, lagi bagus (cthnya gold dust 95% block heat) sebab ia berkaitan dgn penggunaan air-con dan emosi anda. Contohnya, kalau air-con kurang guna atau guna pada tahap minimum, minyak pun save dan anda pun kurang terbakar atau kurang nak marah sebab ada kajian menunjukkan cuaca panas akan meningkat tahap kebrutalan seseorang itu Bila dah 'panas' mula la jadi samseng jalan raya
35. Terdapat juga teknologi baru dimana kadar ketembusan cahaya pada cermin kereta anda boleh diubahsuai (Kat negara kita belum dikomersialkan) menggunakan tenaga elektrik drp bateri anda. Bila nak parking - gelapkan cermin kereta, bila nak drive cerahkan balik. Rujuk [ fcp://@fc.ramunia.com,%2318476420/ MailBox/_ blank/home.howstuffworks. com/smart- window.htm ]http://home. howstuffworks. com/smart- window..htm
36. Gantikan Air filter kereta anda dengan filter K&N sebab filter K&N diperbuat daripada gentian kapas dimana kadar aliran udara adalah lebih tinggi daripada filter biasa yg diperbuat dari kertas dan mudah tersumbat
37. Boleh cuba pakai micro-compressor (www.micro-compresso r.com) atau Air Injector (www.air-injector. com)
38. Kalau nak pergi kerja tu, keluar la awal sikit, takde la terkejar-kejar. Rilek je drive dan tak sakit kepala.
39. Perbanyakkan stesen Petronas
40. Pasang intercooler pada enjin anda (bila suhu enjin diturunkan, power meningkat dan boleh save minyak)

Bahasa penyatu bangsa

PERJUANGAN mengangkat martabat bahasa kebangsaan merupakan sebahagian daripada perjuangan bangsa. Isu bahasa belum lagi selesai dan tidak akan selesai selagi tidak ada iltizam politik dan kesedaran mendalam tentang kepentingannya terhadap survival bangsa.
Perjuangan tidak berakhir dengan termetrainya sesuatu bahasa itu diisytiharkan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Sebaliknya, perjuangan berterusan dan bergerak seiring dengan perjuangan bangsa untuk menjadi negara bangsa yang perkasa.
Bangsa yang berjiwa besar dan tidak terperangkap dalam jiwa kerdil akan sentiasa berusaha untuk memperkasa bahasa kebangsaannya. Sebagai sebuah negara yang sudah mencapai kemerdekaan selama setengah abad, Malaysia masih lagi dalam proses membentuk keperibadiannya sebagai satu bangsa.
Bahasa Melayu merupakan tonggak emosi dan ketaatan rakyat Malaysia kepada negara ini. Inilah bahasa yang menentukan kelangsungan dan perpaduan kebangsaan sejak dahulu, kini dan untuk selama-lamanya.
Bahasa Melayu akan terus menjadi tonggak utama kekuatan bangsa, serta alat pengucapan budaya dan tamadun yang mampu memikul dan mengisi agenda bangsa, dan menangani perubahan dan keperluan masyarakat dan negara.
Keamanan, persefahaman, dan perpaduan yang kita capai selama ini adalah berkat kejayaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan, dan sebagai bahasa rasmi negara. Tidak mungkin bahasa lain dapat mengambil alih tempat bahasa Melayu, kerana inilah bahasa yang dekat di hati rakyat. Nasionalisme bangsa harus terus dipupuk melalui bahasa Melayu.
Bahasa Melayu menjadi lambang jati diri dan kebanggaan rakyat, dan kecintaan terhadapnya harus disemarakkan. Tidak dapat disangkal bahawa bahasa merupakan salah satu ciri atau penanda jati diri yang penting.
Identiti dari segi bahasa dapat ditinjau dari pelbagai perspektif dan konteks, termasuk fizikal, stilistik, psikologi, sosial, etnik dan nasional. Jiwa besar sesuatu bangsa turut diukur dari segi sikap, amalan dan kebanggaan mereka terhadap bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara. Rasa bangga inilah yang akan dapat menyemai dan mengukuhkan rasa nasionalisme dan rasa cinta yang mendalam terhadap tanah air.
Bangsa yang tanpa bahasa kebangsaan adalah umpama manusia yang tidak mempunyai jiwa dan roh. Itulah sebabnya, amat penting bagi negara yang mencapai kemerdekaan untuk memilih bahasa kebangsaannya.
Kegagalan memilih bahasa pribumi, sebaliknya memilih bahasa asing sebagai bahasa kebangsaan, telah banyak menimbulkan masalah dalam pembangunan bangsa termasuk di 40 buah negara di Afrika, di Asia dan Amerika Selatan yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi tunggal masing-masing.
Alexis de Tocqueville menyatakan, 'ikatan bahasa mungkin merupakan ikatan yagn paling teguh dan paling tahan lama dapat menyatukan manusia'.
Bahasa Melayu memainkan peranan penting bagi membentuk sikap baharu yang bertunggakkan persefahaman dan persaudaraan senegara sehingga terbentuknya bangsa Malaysia moden. Bahasa Melayu yang digunakan dalam sistem pendidikan negara dan digunakan dalam konteks formal dan tidak formal tentu berupaya menghakiskan etnisisme yang merantai hampir semua ranah dan ciri kehidupan seharian masyarakat majmuk Malaysia.
Keperibadian
Kepentingan bahasa kebangsaan telah mulai disedari oleh Perdana Menteri pertama. Tunku Abdul Rahman menyatakan bahawa "adalah wajar bagi kita sebuah negara membangun berhasrat mempunyai bahasa kita sendiri. Sekiranya bahasa kebangsaan tidak diperkenalkan negara kita tidak akan mempunyai peribadi dan keperibadian - apa yang boleh saya ungkapkan sebagai negara yang tidak mempunyai jiwa dan roh".
Apakah yang akan terjadi jika kita tidak memiliki satu bahasa yang dapat difahami dan dikuasai oleh seluruh rakyat sebagai alat penyatu dan pengikat jiwa rakyat? Mungkinkah kita mencapai perpaduan dan kestabilan sosio politik dan seterusnya kesejahteraan sosial dan pertumbuhan ekonomi? Dengan alat apakah kita dapat memenuhi impian untuk mewujudkan masyarakat majmuk yang bersatu padu?
Yang jelas, tanpa menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, negara ini tentu berdepan dengan pelbagai gejala negatif seperti salah faham, prasangka kaum, ketegangan dan krisis. Kestabilan sosial dan politik tentu sukar dicapai tanpa bahasa kebangsaan, kerana tidak terdapat satu bahasa yang dapat bertindak sebagai tali pengikat jiwa dan raga.
Negara yang tidak mempunyai bahasa kebangsaan ialah negara yang ketiadaan jiwa dan roh. Negara itu pasti akan berhadapan dengan masalah untuk menyatukan penduduknya. Dengan bahasa, nilai dan kepentingan yang berbeza, rakyat akan mudah saling bercakaran. Pergolakan sosial akan berlaku, dan ini akhirnya akan memudaratkan negara itu dari segi politik, sosial dan ekonomi.
Tentu amat berbahaya apabila bahasa ibunda atau bahasa kebangsaan dilihat oleh penggunanya sebagai tanda kemunduran, atau sebagai penghalang kemajuan dan peningkatan status sosial mereka.
Bahasa Melayu tetap akan berperanan sebagai wahana komunikasi yang mutlak untuk masyarakat pelbagai kaum, tanpa mengira taraf sosial dan latar belakang. Bahasa Melayu sebagai bahasa watan telah mampu merapatkan atau menimbuskan pelbagai jurang. Ia bukan sekadar sebagai alat komunikasi, tetapi wahana pengikat sosial, merentasi dinding kaum, geografi, status penduduk. Bahasa lain tidak mungkin dapat mengambil alih peranan itu.
Tetapi mengapakah bahasa Melayu sering diremehkan peranan dan kedudukannya, termasuk oleh pemimpin dan orang Melayu sendiri
?

Chikungunya: Rakyat Kedah jangan panik

Oleh OPAT RATTANACHOT
SUNGAI PETANI 14 Dis. - Penduduk Kedah diminta tidak panik dengan penyakit demam chikungunya yang dikatakan sedang merebak di daerah Kuala Muda dan kawasan sekitarnya.
Timbalan Pengarah Kesihatan (Awam) Kedah, Dr. Shahidan Hashim berkata, penduduk tidak perlu bimbang kerana penyakit bawaan nyamuk aedes itu tidak mendatangkan maut.
Bagaimanapun katanya, langkah-langkah pencegahan perlu diambil rakyat termasuk bergotong-royong membersihkan kawasan persekitaran daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk tersebut, seterusnya mengelak penularan penyakit tersebut.
''Berdasarkan perkembangan sehingga hari ini, sebanyak 27 kes disyaki demam chikungunya dikesan di Kampung Sungkap Para, Sungai Lalang, Sungai Petani.
"Daripada jumlah tersebut, 10 kes dikesan pada kelmarin sementara 17 lagi, semalam.
"Keadaan mereka dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani dan Hospital Yan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menemani Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Penerangan, Badan-badan Bukan Kerajaan dan Pembangunan Insan Negeri, Dr. Ismail Salleh melawat mangsa chikungunya di HSAH di sini hari ini.
Menurut Shahidan, berikutan kejadian itu, Jabatan Kesihatan Kedah telah mengambil sampel darah ke atas semua mangsa untuk dianalisis.
"Sampel darah kes-kes itu telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan di ibu negara untuk ujian pengesahan chikungunya dan dijangka diketahui dalam tempoh dua minggu," katanya.
Semalam, akhbar melaporkan Jabatan Kesihatan Kedah mengesan sebanyak 16 kes yang disyaki demam chikungunya melibatkan penduduk dalam kawasan daerah Kuala Muda.
Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr. Hasnah Ismail berkata, berdasarkan pemeriksaan, sebanyak 84 penduduk melibatkan 15 keluarga dari Kampung Sungkap Para, Sungai Lalang, dekat sini dikesan mempunyai simptom demam chikungunya sejak beberapa hari lalu.
Terdahulu, Shahidan ketika menyertai kempen gotong-royong bersama penduduk di Kampung Sungkap Para berkata, orang ramai diminta supaya mengenal pasti tempat pembiakan nyamuk yang dipercayai membawa wabak dan mengambil langkah memusnahkannya segera bagi mengelak penyakit merebak.
''Nyamuk boleh dimusnahkan pada peringkat awal, tetapi jika dibiarkan hingga ke peringkat matang, ia akan menggigit penduduk seterusnya terbang ke kawasan lain dengan cepat
," jelasnya.

Pasangan pekak, bisu bertemu jodoh


IPOH 14 Dis. - Kalau sudah jodoh tidak ke mana. Begitulah perumpamaan bagi pasangan pengantin, Shahrizan Abdul Hamid, 30, dan Liana Ridzuan, 27, yang kedua-duanya sama-sama pekak dan bisu sejak kecil.
Kedua-dua mempelai selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri di sini hari ini.
Shahrizan yang berasal dari Felda Tenggaroh, Mersing, Johor dan Liana dari Kampung Seri Kinta di sini, membuktikan masalah komunikasi bukan halangan untuk mereka berdua bercinta sehingga berakhir ke jenjang pelamin seperti pasangan normal.
Walaupun tidak boleh bercakap dan mendengar, Shahrizan mampu menyempurnakan majlis akad nikah dengan adanya bantuan daripada jurubahasa isyarat Persatuan Orang Pekak Malaysia, Asma Nurul Ain Salim.
''Saya tidak menyangka perjumpaan secara tidak sengaja kami di Kompleks Medan Gopeng, empat tahun lalu akhirnya menyatukan kami hari ini," katanya menggunakan bahasa isyarat kepada Utusan Malaysia selepas berlangsungnya majlis akad nikah di Masjid Kampung Seri Kinta di sini hari ini.
Ditanya bagaimana mereka menyemai bibit-bibit cinta kerana kedua-dua pekak dan bisu, Shahrizan berkata, mereka berdua menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai pengantara untuk berhubung dan berkenalan.
''Dari SMS kami berkenalan antara satu sama lain termasuk mengenali hati budi masing-masing dan pernah juga beberapa kali berjumpa.
''Saya tertarik dengan Liana kerana dia seorang yang periang," tambahnya.
Sementara itu, Liana pula berkata, sifat penyabar Shahrizan yang sanggup melayan kerenahnya membuatkan dia tertarik untuk menjalinkan kemesraan dengan jejaka itu.
Menurut gadis itu, dia akan mengikut suaminya yang bekerja di sebuah kilang di Johor selepas selesai majlis perkahwinan tersebut.
''Mengenai masa depan selepas berumahtangga, saya berserah pada Allah dan saya terima sahaja berapa cahaya mata yang akan dikurniakan nanti," kata Liana.

CUEPACS: Teliti rekod bekas penagih

Oleh NORILA DAUD
KUALA LUMPUR 14 Dis . - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan mewujudkan mekanisme dan syarat-syarat ketat termasuk meneliti dahulu rekod bekas penagih dadah sebelum membenarkan mereka kembali berkhidmat dengan sektor awam.
Presidennya, Omar Osman berkata, pihaknya bukan tidak bersimpati dengan bekas penagih dadah khusus yang mempunyai keluarga tetapi golongan itu perlu diawasi dan dipantau sepanjang masa.
Menurut beliau, sekiranya kerajaan bercadang untuk mengambil bekas penagih dadah bekerja di sektor awam, syarat-syarat pengambilan perlulah ketat dan tidak memadai hanya dengan memasuki pusat pemulihan selama dua tahun.
''Kerajaan perlu melihat rekod pemulihan dan kekerapan mereka memasuki pusat pemulihan, waktu penagihan dan mengkaji sama ada penagihan itu berlaku atas kehendak sendiri atau terperangkap serta tahap penagihan mereka.
''Walaupun bekas penagih dadah telah pulih, kerap juga berlaku mereka akan berhubung semula dengan rakan- rakan lama dan potensi mereka untuk kembali menagih adalah tinggi,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Syed Hamid Albar yang mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil bekas penagih dadah untuk bekerja dalam sektor awam.
Omar berkata, pemantauan dan kaunseling sekurang-kurangnya sekali sebulan termasuk ujian air kencing perlu dilakukan terhadap pekerja tersebut.
Bekas penagih dadah juga katanya, tidak boleh dibiarkan bekerja bersendirian dan di tempat sunyi kerana keadaan itu memungkinkan mereka kembali menagih.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas-Bekas Penagih Dadah (Pengasih), Mohd. Yunus Pathi meminta kerajaan memberi peluang kepada bekas penagih dadah bekerja di sektor awam memandangkan mereka yang terlibat mempunyai kemahiran tertentu.
Menurutnya, pekerjaan yang paling sesuai buat kumpulan itu ialah Pembimbing Rakan Sebaya kerana mereka mengetahui dan memahami keadaan penagih.
''Saya berharap JPA dapat mewujudkan skim gaji sebanyak RM1,200 sebulan untuk Pembimbing Rakan Sebaya yang turut bertugas sebagai pembantu kaunselor, membuka bengkel dan kaunter khidmat di pusat-pusat pemulihan. Mereka juga boleh bertindak sebagai kumpulan sokongan dan berperanan seperti pegawai di Pusat Khidmat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)'' jelasnya.
Kerja-kerja itu katanya, tidak memerlukan kelulusan akademik malah lebih kepada kemahiran untuk membimbing penagih dadah di pusat pemulihan.
Dalam pada itu katanya, kerajaan hanya perlu memberi peluang kepada mereka yang benar-benar menunjukkan perubahan positif dan bukan yang berpotensi untuk mengulangi tabiat menagih.
Pengerusi Eksekutif Persekutuan Majikan- Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan pula berpendapat, sesetengah bekas penagih dadah di sektor swasta berjaya menyumbang kepada keuntungan syarikat dan tidak kurang juga yang kembali menagih.
Sehubungan itu, beliau berharap pegawai AADK dan pusat pemulihan sentiasa membuat susulan dan memantau pergerakan golongan tersebut.
''Pusat pemulihan juga perlu menyediakan program-program kemahiran yang memenuhi kehendak pasaran supaya apabila keluar, mereka mempunyai pekerjaan,'' katanya.
Shamsuddin menambah, bekas penagih dadah perlu diberi semangat baru supaya mereka boleh mengisi pekerjaan yang selama ini diisi oleh pekerja asing.

Kedah ikut tukar kereta baru

ALOR STAR 14 Dis. - Kedah akan mengikut langkah kerajaan negeri Perak menggantikan kereta Proton Perdana V6 Executive yang digunakan sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri dengan jenama lain sekiranya kewangan mengizinkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, cadangan tersebut wajar dalam usaha menjimatkan perbelanjaan negeri kerana kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive agak tinggi dan membebankan.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jenis kereta yang akan dibeli sekiranya cadangan penggantian itu dilaksanakan.
"Kita akan kaji dan kalau bagus kita ikut cara kerajaan Perak," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat rombongan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Beliau ditanya sama ada akan menggantikan kereta Proton Perdana V6 Executive yang digunakan sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri seperti yang diputuskan kerajaan Perak.
Kerajaan negeri Perak kelmarin dilaporkan meluluskan pembelian 16 buah kereta Toyota Camry 2.4 bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.
Kerajaan negeri Selangor juga dilaporkan bercadang membeli beberapa buah kereta termasuk jenis Proton, Toyota Camry dan Honda bagi menggantikan lebih 10 buah kereta yang telah digunakan melebihi lima tahun oleh Exco dan pegawai-pegawainya, pada tahun depan.
Ditanya perkembangan status Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Azizan berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan kerajaan Pusat di Kuala Lumpur esok.
Perjanjian LADA antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat akan tamat pada 2010.

Camry: Kerajaan Perak tidak patriotik

KUALA KANGSAR 13 Dis. - Kerajaan Perak disifatkan tidak patriotik apabila sanggup menggunakan kereta Toyota Camry 2.4 bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.
Penggunaan kereta import berbanding kereta buatan tempatan juga bererti kerajaan negeri sanggup mengalirkan wang ke luar negara untuk membeli kereta-kereta berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Manong, Datuk Ramly Zahari berkata, walaupun kos membaiki serta menyelenggara Proton Perdana tinggi, pembelian kereta tersebut menyebabkan mata wang negara mengalir dalam negeri.
"Saya anggap tindakan kerajaan negeri ini sebagai tidak patriotik dan melanggar arahan Kerajaan Pusat sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Pejabat Kemajuan Daerah Kinta dan Kuala Kangsar di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Perak (JPP), Datuk Zainal Abidin Omar.
Beliau diminta mengulas tindakan Kerajaan Perak meluluskan pembelian sebanyak 16 buah kereta Toyota Camry 2.4 bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kos membaiki serta menyelenggara Proton Perdana yang begitu tinggi dan sering mengalami kerosakan.
Mengulas lanjut Ramly berkata, sepatutnya kerajaan negeri lebih mengutamakan penggunaan kereta nasional sebagai satu langkah untuk memartabatkan lagi kereta buatan tempatan.
Sementara itu di KUANTAN, Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) juga menyifatkan kerajaan Perak sebagai 'mengkhianati' negara apabila menggunakan kereta buatan luar bagi menggantikan kereta tempatan sebagai kenderaan rasmi.
Presidennya, Mohd. Firdaus Abdullah menegaskan, tindakan kerajaan negeri itu seolah-olah memperlekehkan kereta buatan tempatan yang dianggap tidak layak menjadi kenderaan rasmi kerajaan negeri.
"Kerajaan Perak telah membelakangkan kemampuan kereta tempatan apabila memilih Toyota untuk menjalankan urusan rasmi kerajaan," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Firdaus berkata, pemimpin kerajaan di Perak sepatutnya menjadi contoh kepada rakyat dengan menggunakan kenderaan buatan tempatan.
"Apabila pemimpin kerajaan menggunakan kenderaan buatan luar, ia juga mendorong rakyat untuk tidak menggunakan kenderaan buatan tempatan," katanya.

Harga petrol dijangka turun lagi dalam masa terdekat - Shahrir

14/12/2008 7:08pm
PULAU PINANG 14 Dis. — Harga runcit petrol dan diesel di negara ini dijangka turun lagi dalam masa terdekat selaras dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran global, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad.
Beliau berkata pada masa ini terdapat ruang untuk menurunkan harga itu dan kerajaan selalunya mengadakan semakan terhadap harga bahan api itu pada awal atau pertengahan bulan sebelum membuat sebarang pengumuman.
“Insya-Allah ada ruang untuk turunkan lagi harga itu dalam masa terdekat.
Maknanya sekarang dah dekat nak sampai (masa) kepada penurunan harga itu,” katanya ketika melancarkan kempen Penurunan Harga oleh Pasaraya Sunshine di Bayan Baru, di sini.
- Bernama

Harga petrol, diesel bersubsidi nelayan turun 13 sen mulai selasa

13/12/2008 3:33pm
KUALA LUMPUR 13 Dis. — Harga diesel dan petrol bersubsidi nelayan diturunkan sebanyak 13 sen daripada RM1.43 seliter kepada RM1.30 seliter mulai 16 Disember, umum Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed hari ini.
Dengan pelaksanaan harga baru itu, kerajaan akan menanggung tambahan perbelanjaan kira-kira RM197 juta setahun, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mustapa berkata kerajaan akan terus mengekalkan bayaran elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan kepada pemilik individu vessel perikanan dan pekerja warga Malaysia yang bekerja di atas vessel berlesen.
Kerajaan juga akan mengekalkan bayaran insentif pendaratan ikan sebanyak RM0.10 sekilogram seperti yang diputuskan pada Jun lepas, katanya.
Beliau berkata penurunan harga diesel dan petrol bersubsidi akan memberi penjimatan perbelanjaan bahan bakar antara RM260 sehingga RM4,160 sebulan bergantung kepada zon tangkapan dan saiz vessel.
“Penjimatan bagi vessel pukat tradisi Zon A (kawasan operasi 0 hingga lima batu nautika dari pantai) adalah sebanyak RM260 sebulan, vessel pukat tunda Zon B (lima hingga 12 batu nautika) sebanyak RM2,600 sebulan.
“Vessel pukat tunda Zon C (12 hingga 30 batu nautika) sebanyak RM3,120 sebulan dan vessel pukat tunda Zon C2 (lebih 30 batu nautika) sebanyak RM4,160 sebulan,” katanya.
Mustapa berkata kerajaan juga pada 3 Nov lepas telah menambah kuota diesel dan petrol bersubsidi daripada 106 juta liter sebulan kepada 126 juta liter sebulan bagi menampung kegunaan diesel dan petrol akibat penambahan lesen vessel baru terutama lesen sampan sebanyak 15,900 buah yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan.
“Berikutan permohonan daripada pemilik vessel pukat tunda, kerajaan pada tarikh yang sama telah meluluskan tambahan kuota sebanyak 4,000 liter sebulan bagi setiap vessel pukat tunda Zon C dan C2,” katanya.
Beliau berkata penurunan harga serta tambahan kuota diesel dan petrol bersubsidi itu sewajarnya memberi pulangan tambahan kepada nelayan daripada segi pengurangan kos dan peningkatan pendaratan ikan.
— BERNAMA

Jangan buat spekulasi perubahan masa siaran berita RTM

13/12/2008 3:26pm
KUALA TERENGGANU 13 Dis. — Semua pihak diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perubahan siaran berita Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).
Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, selaras dengan penstrukturan semula saluran RTM kini, penjadualan program untuk saluran RTM 1 dan RTM 2 masih lagi berjalan.
Menurut beliau, penjadualan itu bukan merupakan satu perkara yang mudah dilaksanakan di mana pelbagai cadangan dan kajian masih lagi dijalankan bagi memastikan penjadualan yang terbaik akan dapat dihasilkan.
“Oleh sebab itu saya berharap agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan dapat bersabar sehingga pengumuman rasmi dibuat tidak lama lagi,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sebelum ini beberapa pihak telah membuat kenyataan terhadap perubahan program RTM termasuk mengenai siaran berita Mandarin.
Shabery menjelaskan, apa yang beliau nyatakan di Dewan Negara Rabu lepas ialah berita Mandrin yang disiarkan pada jam 8 malam akan dipindahkan dari RTM 2 ke RTM 1, sesuai dengan penstrukturan semula siaran RTM.
Menurutnya, mengikut penstrukturan itu, RTM 1 akan menjadi saluran berita dan informasi, manakala RTM 2 akan menyiarkan pelbagai program hiburan lain.
- Bernama

Cuti untuk kakitangan awam baru dikurangkan

11/12/2008 5:36pm
KUALA LUMPUR 11 Dis. — Mulai 1 Januari kelayakan cuti tahunan bagi kakitangan awam baru, kecuali polis, tentera, penguatkuasa maritim dan pegawai pelajaran, akan dikurangkan lima hari.
Pada masa ini, kakitangan awam menikmati kelayakan cuti tahun sebanyak 30 hari.
Bagaimanapun, mengikut undang-undang, semua kakitangan awam yang sedang berkhidmat akan diberikan opsyen untuk mengekalkan kelayakan mereka atau memilih kelayakan baru yang dikurangkan itu, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam.
“Borang opsyen akan dikeluarkan secepat mungkin kerana hari terakhir bagi membuat opsyen itu ialah 31 Disember.
“Mereka yang tidak mengembalikan borang opsyen itu menjelang tarikh itu akan dianggap memilih kelayakan sekarang,” katanya kepada Bernama hari ini. - Bernama

Cuti `golden handshake’ tambah kepada 150 hari

12/12/2008 4:11pm
PUTRAJAYA 12 Dis. – Had maksimum cuti “golden handshake” yang boleh dikumpulkan kakitangan awam ditambah daripada 120 hari kepada 150 hari mulai tahun depan, kata Presiden CUEPACS, Omar Osman hari ini. - Bernama

Mangsa tanah runtuh dapat diskaun hotel 50%

SHAH ALAM 10 Dis. - Kerajaan campuran Selangor menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus bagi sewa bilik di hotel milik kerajaan negeri bagi mangsa tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, langkah itu dibuat bagi mengurangkan beban kewangan mereka yang kini tidak lagi mempunyai penginapan selesa akibat musnah atau terpaksa berpindah.
"Kita mengesyorkan supaya penduduk diberi diskaun 50 peratus kadar sewa bilik untuk penginapan di Hotel De Palma, Ampang dan hotel-hotel di bawah Kumpulan Hotel De Palma," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.
Sabtu lalu, empat orang terbunuh manakala 14 cedera setelah 14 banglo di kawasan seluas empat hektar di Taman Bukit Mewah di Bukit Antarabangsa selepas berlaku kejadian tanah runtuh.
Sehari selepas tragedi, kira-kira 3,000 penduduk berhampiran diarah berpindah setelah beberapa kediaman di Kondominium Impian Selatan, Jalan Bukit Mewah 1 dikesan mengalami keretakan yang bukan sahaja tidak selamat diduduki tetapi boleh runtuh pada bila-bila masa.
Ditanya sama ada pampasan akan diberikan kepada pemilik rumah yang musnah, Abdul Khalid menjelaskan, kerajaan negeri tidak berbuat demikian kerana hartanah terbabit merupakan milik persendirian.
Bagaimanapun, beliau menambah, kerajaan negeri akan membantu mencari hartanah yang sesuai untuk mereka beli atau duduki.

Kenangan di Highland Towers


KENANGAN tinggal di salah sebuah blok pangsapuri mewah, Highland Towers di Ampang, Selangor, lebih 15 tahun lalu tidak dapat dilupakan seorang ahli perniagaan, Hisham Talib, 31.
Di situlah tempat beliau menikmati keindahan Kuala Lumpur, yang jelas kelihatan dari unit pangsapuri yang didiaminya.
Menurutnya, ketika itu beliau masih menuntut di sekolah menengah dan sedang obses dengan permainan bola keranjang.
“Nasib agak baik kerana Highland Towers didiami oleh ramai warga asing yang bekerja dan belajar di sini.
“Di antara mereka pula, ada juga yang mahir bermain bola keranjang terutama mereka dari Amerika Syarikat,” jelasnya mengimbau keriangan dahulu.
Beliau menambah, jika tidak bermain bola keranjang, beliau akan meluangkan masa ke kolam renang pangsapuri itu yang selesa, selain bermain skuasy bersama adik-beradik lain.
Keceriaan jelas terbayang pada wajah Hisham tatkala beliau menceritakan tentang keindahan malam kosmopolitan Kuala Lumpur yang bergemerlapan terutama pada waktu-waktu perayaan seperti sambutan tahun baru dan hari kemerdekaan negara.
“Biasanya pada masa-masa sebegitu, kami sekeluarga akan ‘bersidai’ beramai-ramai di beranda untuk melayan halwa mata,'' jelasnya.
Namun, tanggal 11 Disember 1993 mengubah segala-galanya. Blok C yang didiaminya tersungkur menyembah bumi mengorbankan 48 penghuninya termasuk seorang pembantu rumahnya warga Indonesia.
Beliau yang ketika itu menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, Perak, kelu seketika mendengar perkhabaran berkenaan daripada seorang rakan di asrama.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana pada hari Sabtu itu kesemua ahli keluarga lain berada di Johor untuk menghadiri kenduri kahwin, namun saya tetap sedih dan bersimpati dengan ajal yang menimpa pembantu rumah kami serta 47 mangsa lain,'' ujarnya sayu.
Selepas tragedi itu, Hisham serta keluarga berpindah ke Ampang dan selepas mendirikan rumah tangga kira-kira empat tahun lalu, bapa kepada dua orang anak ini menetap di Subang Jaya, Selangor.
Padanya, kejadian seumpama itu tidak patut berlaku lagi kepada individu-individu lain.
Jelasnya, beliau kesal dengan sikap para pemaju yang rakus mencari keuntungan dan berharap kerajaan serta pihak berkuasa tempatan dapat menjalankan tugas dengan lebih cermat serta amanah selepas ini.
“Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak meluluskan permohonan pemaju untuk menjalankan projek di kawasan cerun harus dipandang serius oleh semua pihak termasuk kerajaan sendiri,” katanya yang berkelulusan sebagai arkitek.
Hisham mengulas keputusan yang dibuat Abdullah selepas beliau melawat lokasi runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa Sabtu lepas.
Kejadian yang berlaku kira-kira 1.5 kilometer dari tapak tinggalan Highland Towers itu mengorbankan lima mangsa, di samping meranapkan 14 buah unit banglo di Taman Bukit Mewah
Beliau berpendapat, pihak-pihak berwajib dan para pemaju perlu meninjau kembali tapak Highland Towers yang terbiar serta menilai kerugiannya, berbanding keuntungan
yang telah dijana.

Pindaan AUKU beri lebih kuasa autonomi di universiti

10/12/2008 5:53pm
KUALA LUMPUR 10 Dis. – Lebih banyak kuasa autonomi akan diberi kepada Naib Canselor ekoran pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang memasuki bacaan kali kedua pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara pindaan yang dibuat ialah memindahkan beberapa kuasa Yang di-Pertuan Agong dan menteri kepada pihak berkuasa universiti antaranya terdiri daripada Lembaga Pengarah Universiti, Senat dan naib canselor.
``Melalui rang undang-undang ini, kuasa untuk menubuhkan fakulti dan jabatan yang dahulunya berada di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong diberikan kepada Senat. Pindaan ini adalah selaras dengan fungsi Senat sebagai badan utama akademik di universiti,'' katanya ketika membentangkan kali kedua pindaan rang undang-undang itu hari ini. - Utusan

SPR beri amaran kepada parti politik jangan naikkan bendera

10/12/2008 7:53pm
KUALA TERENGGANU 10 Dis. — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi amaran kepada parti-parti politik supaya tidak menaikkan bendera masing-masing sekarang kerana tempoh berkempen untuk pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu belum berkuatkuasa.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya menerima aduan terdapat parti-parti politik yang berbuat demikian di tempat-tempat tertentu di negeri ini.
Beliau berkata, tempoh berkempen hanya bermula selepas proses penamaan calon pilihan raya tersebut pada 6 Jan depan.
“Saya ingin tegaskan bahawa tindakan ini (menaikkan bendera politik) salah kerana dianggap berkempen di luar batasan undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan pegawai-pegawai polis Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Negeri Datuk Mohd Shukri Dahlan.
Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong berikutan kematian mengejut penyandangnya, Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran ketika bermain badminton di Institut Aminudin Baki di Genting Highlands pada 28 Nov lepas.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata SPR juga menetapkan bahawa Dewan Tunku Abdul Rahman dan Stadium Negeri, masing-masing akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan penjumlahan undi pilihan raya kecil itu.
Beliau berkata, keputusan pilihan raya kecil akan diumumkan di Stadium Negeri, pada malam hari mengundi 17 Jan depan.
Katanya, pemilihan kedua-dua tempat berkenaan dibuat selepas SPR berbincang dengan pihak polis terutama daripada sudut keselamatan.
Mengenai pertemuan hari ini, Wan Ahmad berkata pihaknya telah berbincang secara menyeluruh dengan polis bagi memastikan pilihan raya kecil itu berjalan lancar termasuk berkaitan penguatkuasaan undang-undang semasa tempoh berkempen.
- Bernama

PPP bebas buat pilihan keluar BN, kata Abdullah

09/12/2008 8:32pm
KUALA LUMPUR 9 Dis. — Parti Progresif Penduduk (PPP) bebas membuat pilihan untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) jika itulah pilihan mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.
“Jika itu pilihan mereka,
apa yang kami boleh buat ?” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato Onn di sini hari ini.
PPP telah mendesak supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dipinda sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 ataupun parti itu akan keluar daripada BN.
Abdullah berkata kerajaan tiada perancangan untuk meminda akta tersebut. - Bernama

Bukit Antarabangsa perlu dikosongkan- Mohd. Ali

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam secara peribadi berpendapat, kawasan perumahan sekitar Bukit Antarabangsa sewajarnya dikosongkan demi keselamatan penduduk.
''Saya tengok kawasan ini sudah tiga kali berlaku kejadian tanah runtuh, kalau saya, akan arahkan semua penduduk keluar kerana nyawa lebih penting," katanya ketika melawat kawasan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 3.50 pagi kelmarin, empat terbunuh, 14 cedera, manakala seorang lagi dikhuatiri terperangkap setelah 14 banglo di kawasan seluas empat hektar tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa.
Menurut Ali, keputusan untuk mengosongkan kawasan Bukit Antarabangsa terletak di tangan Kerajaan Selangor.
Jelasnya, beliau tidak dapat mengulas dengan lebih lanjut mengenai masalah tersebut kerana hanya kerajaan Selangor yang berhak membuat sebarang keputusan.
Mengulas mengenai kawasan berisiko di Melaka, beliau memberitahu, pihaknya akan mendapatkan pandangan daripada pakar geologi untuk menilai kualiti tanah di negeri itu bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

'Kita tidak pernah belajar'

KUALA LUMPUR 7 Dis. - "Nampaknya tiada siapa pun yang belajar daripada tragedi itu (Highland Towers)." Itulah reaksi bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam apabila diberitahu mengenai kejadian tanah runtuh yang mengorbankan empat nyawa di Taman Bukit Utama dan Taman Bukit Mewah di Bukit Antarabangsa di sini pada Sabtu.
"Sudah bertahun-tahun tragedi itu berlalu dan hari ini insiden seperti itu berlaku lagi, ) mengakibatkan kematian," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Amsterdam.
Anak lelaki Musa, Rashid Carlos dan isterinya Rozita, adalah antara 48 orang yang terkorban apabila sebuah daripada tiga blok kondominium Highland Towers di Taman Hillview, terletak 1.5 kilometer dari tempat kejadian tanah runtuh pada Sabtu, runtuh pada 11 Disember 1993.
"Ia satu memori yang amat tidak menyenangkan, sungguh memilukan. Saya sendiri yang mengalaminya. Harapan ialah agar siapa jua yang bersalah mesti menerima hukuman," kata Musa.
Tragedi Highland Towers mengejutkan seluruh negara memandangkan kejadian seumpama itu julung kali berlaku dalam sejarah negara sejak merdeka.
Bagaimanapun kisah yang menyayat hati itu tidak berakhir di situ sahaja kerana terdapat beberapa lagi insiden berkaitan tanah runtuh yang berlaku di kawasan berkenaan, malah ada antaranya mengakibatkan kematian.
Satu insiden yang sangat ketara berlaku pada 4.35 pagi, 20 Nov, 2002 apabila tanah runtuh meranapkan banglo dua tingkat milik Pengerusi Affin Bank Bhd. Jen. (B) Tan Sri Ismail Omar.
Isteri beliau, Puan Sri Azizah Abdul Aziz, anak lelakinya Hijaz, dua menantu dan dua cucu serta dua pembantu rumah warga Indonesia terkorban apabila banglo berkenaan ditimpa tanah runtuh.
- Bernama

Harga minyak akan turun lagi

Oleh NURUL HUDA HASSAN
PULAU PINANG 14 Dis. - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad hari ini membayangkan harga runcit minyak petrol dan diesel di negara ini akan diturunkan lagi dalam masa terdekat.
Beliau berkata, buat masa ini masih terdapat ruang untuk harga petrol dan diesel diturunkan sedikit lagi berikutan penurunan berterusan harga bahan api itu di pasaran global.
Menurutnya, pada kebiasaannya kerajaan mengadakan semakan terhadap harga bahan api itu pada awal atau pertengahan bulan sebelum membuat sebarang pengumuman.
"Maknanya (sekarang) dah dekat hendak sampai masa kepada penurunan harga itu dan saya mengesahkan bahawa ada ruang untuk harga runcit bahan api itu diturunkan sedikit lagi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Penurunan Harga Barangan Keperluan Harian oleh Pasaraya Sunshine di Sunshine Square, Bayan Baru di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Sunshine Amanjaya Sdn. Bhd., Datuk Abdul Rafique Abdul Karim.
Pada 17 November lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penurunan harga petrol dan diesel sebanyak 15 sen yang merupakan pengurangan kali kelima sejak Ogos lalu.
Langkah itu membolehkan harga petrol RON97 turun daripada RM2.15 kepada RM2 seliter, manakala RON92 dan diesel masing-masing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.
Ia disusuli penurunan harga bahan api itu buat kali keenam awal bulan ini yang menyaksikan pengurangan sebanyak 10 sen kepada RM1.90 bagi petrol dan RM1.80 bagi diesel.
Ekoran daripada itu beliau berkata, rakyat juga tidak akan diberikan subsidi petrol dan diesel lagi apabila harga bahan itu sudah menjadi semakin murah.
''Subsidi hanya diberi apabila harga mencecah pada paras yang tinggi sekali gus membolehkan pengguna mempunyai sedikit duit poket untuk berbelanja dan merancakkan kitaran ekonomi domestik.
''Jadi, jika harga sudah rendah, subsidi tidak perlu diberi lagi dan rakyat tidak juga bolehlah terus mengharapkan agar kerajaan memberi subsidi selama-lamanya," kata Shahrir.
Dalam pada itu, Shahrir turut menyeru semua pihak supaya bekerjasama menjayakan kempen penurunan harga dan tidak meletakkannya di bahu Kementerian dan kerajaan pusat semata-mata.
Katanya, usaha menurunkan harga barang tidak perlu dipolitikkan kerana kerajaan pembangkang juga mempunyai tanggungjawab yang sama untuk menjaga kebajikan rakyat.
Sementara itu, Abdul Rafique memberitahu, Pasaraya Sunshine telah memulakan kempen penurunan harga sejak 8 November lalu hingga 31 Januari tahun depan dan sebanyak 600 produk telah disenaraikan antaranya telur, susu tepung, sayuran, minyak masak dan beras.
"Pihak kami sentiasa menyokong usaha kerajaan berhubung harga barang dan kita percaya kempen ini merupakan kaedah yang terbaik dan bersesuaian dalam usaha membantu meringankan beban rakyat," katanya.

Tubuh badan tindakan khas bencana

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) mencadangkan Badan Tindakan Khas diwujudkan bagi menyiasat punca sebenar kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa di sini.
Presiden Rehda, Datuk Ng Seing Liong berkata, badan itu penting bagi menentukan punca utama yang menyebabkan tanah di kawasan itu runtuh.
"Kita harus mencari sebab kejadian tidak diingini ini dan pihak yang bertanggungjawab.
"Namun kini apa yang lebih penting, tumpuan harus diberikan untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap dan mendekati keluarga yang kehilangan orang tersayang serta memerlukan bantuan, perlindungan dan keselesaan akibat bencana ini," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Seing Liong berkata, Rehda bersedia terlibat dalam apa-apa bantuan yang diperlukan berhubung kejadian itu
.
Beliau berkata, Rehda juga ada menghantar pasukan bantuan khas dan peralatan bagi membantu kerja-kerja menyelamat.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kesal dengan ketiadaan sistem pemantauan secara berkala dan sistematik di situ walaupun kejadian tanah runtuh di kawasan itu bukan pertama kali berlaku.
"Seharusnya pihak berkenaan di kawasan terbabit atau perumahan lain perlu lebih proaktif dalam memastikan keselamatan penduduk di kawasan mereka kerana bila berlakunya kejadian seperti ini, pelbagai pihak menuding jari dan mangsanya adalah penduduk," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
"Sistem Maklumat Geografi (Gis) adalah salah satu cara yang perlu digunakan bagi mengesan serta mengenalpasti kawasan yang berisiko tinggi seperti di situ dan kepakaran Gis mudah diperoleh di universiti tempatan," katanya.
Dengan ketiadaan sistem amaran dan mengenalpasti kawasan berisiko tinggi, jelasnya, mungkin ramai lagi yang akan kehilangan nyawa serta harta benda jika berlakunya bencana sama.

Ahmad Shabery yakin BN menang di Kuala Terengganu

06/12/2008 5:24pm
TUMPAT 6 Dis. _ Barisan Nasional (BN) yakin akan mampu mempertahankan kerusi Parlime
n Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil 17 Januari depan berdasarkan kepada situasi politik semasa yang jelas membuktikan pakatan pembangkang telah gagal melaksanakan tugas mereka dengan baik.
Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan BN telah menjalankan tugas mereka secara baik dengan mengotakan semua janji yang diberikan pada pilihan raya umum itu.
Antaranya menurut beliau, kerajaan terus menurunkan harga minyak mengikut pasaran dunia seperti yang dijanjikan dan ini telah melegakan rakyat yang sedar bahawa kerajaan memang prihatin terhadap nasib mereka.
"Berbeza dengan pakatan pembangkang yang masih gagal mentadbir dengan baik negeri yang dimenangi mereka, malah banyak janji pilihan raya lalu telah tidak dikotakan sehingga kini," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bunohan di sini hari ini.
Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian Ahli Parlimennya, Datuk Razali Ismail pada 28 November lalu. - Utusan

14 banglo tertimbus tanah runtuh di Bukit Antarabangsa

06/12/2008 9:01am
KUALA LUMPUR 6 Dis. - Dua terbunuh, 15 cedera manakala lapan dikhuatiri terperangkap setelah 14 buah rumah banglo tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa di sini awal pagi ini.
Kejadian dipercayai berlaku pukul 4 pagi ketika penghuni sedang tidur apabila lereng bukit kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian runtuh tiba-tiba.
Ketua Polis Selangir Datuk Thalib Abu Bakar berkata mayat dua beranak itu telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur kira-kira pukul 6 pagi untuk bedah siasat.
Menurutnya, setakat ini seramai 93 mangsa telah diselamatkan dan ditempatkan disurau Jalan Bukit Antarabangsa.
Katanya operasi yang disertai kira-kira lebih 160 anggota penyelamat masih diteruskan untuk mengeluarkan lapan lagi mangsa yang terperangkap.
Katanya, pasukan penyelamat terpaksa menggunakan Jalan Wangsa 9 sebagai jalan alternatif kerana jalan utama ke kawasan tersebut tidak boleh dilalui.
- Utusan

Utara: Bimbang lereng Bukit Pinang runtuh

ALOR STAR: Kejadian tanah runtuh yang meranapkan 14 banglo di Bukit Antarabangsa, Selangor, menimbulkan rasa bimbang 29 keluarga di Taman Sireh, Bukit Pinang dekat sini yang rumah mereka terletak hanya 10 meter daripada lereng bukit. Penduduk mendakwa ketika ini berlaku runtuhan kecil selain air turun dengan deras dari Bukit Pinang ketika hujan, fenomena yang sama yang dilaporkan berlaku di Bukit Antarabangsa sebelum kejadian yang mengorbankan empat nyawa, Sabtu lalu. Justeru penduduk meminta pihak berkuasa bertindak segera memeriksa kekukuhan lereng bukit itu bagi menghilangkan keresahan mereka.
Penduduk, Mohd Zalani Md Desa, 43, berkata setiap kali hujan lebat, air dari bukit itu akan mengalir turun dengan deras dan turut menghakis tanah secara kecil-kecilan. Berikutan itu, katanya, sebahagian tanah lereng bukit yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah penduduk runtuh bersama bongkah batu. "Setiap kali hujan, kami sekeluarga sentiasa risau kerana bimbang tanah dari atas bukit akan runtuh dan meranapkan rumah kami seperti di Selangor itu," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Katanya, pihak berkuasa perlu memeriksa struktur bukit dekat perumahan itu dan jika boleh menutup cerun itu dengan plastik. Mohd Zalani berkata, setakat ini, penduduk di taman itu yang berasa terancam dengan keadaan berkenaan sudah menghantar surat kepada pihak berkaitan tetapi belum ada tindakan sehingga ini. Penduduk lain, Zamani Ahmad Razi, 35, pula mendakwa lereng bukit berkenaan hanya dikukuhkan dengan pokok hutan tetapi masih berlaku runtuhan kecil jika hujan lebat. "Kami hanya mengharapkan pagar konkrit setinggi satu meter di belakang taman ini jika berlaku kejadian tanah runtuh," katanya.
Tinjauan Berita Harian mendapati sebuah tembok konkrit setinggi kira-kira satu meter setebal setengah meter dibina bagi memisahkan antara blok rumah teras berkenaan dengan kaki bukit. Kesan aliran air dari bukit dan hakisan juga dapat dilihat dari atas bukit ke arah rumah penduduk.

Thursday, December 4, 2008

Hanya mampu berdoa


KOTA TINGGI: “Selepas tercampak keluar, saya hanya mampu berdoa supaya suami dan anak kami turut tercampak. Malangnya, mereka tersepit dalam kereta yang terbakar sebelum mayat kedua-duanya ditemui rentung dalam keadaan berpelukan,” kata Rohana Amat, 29.Dalam keadaan sebak, Rohana yang bertugas di Bahagian Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menceritakan pengalaman ngeri dalam kemalangan mengorbankan tiga mangsa di Kilometer 270.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, pagi semalam.Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, suami Rohana, Lans Koperal Azmi Abdul Aziz, 29, yang bertugas Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan anak sulung mereka, Muhamad Nor Akmal Daniel, 6, rentung selepas terperangkap dalam Proton Perdana V6 manakala Rohana dan anak keduanya, Muhamad Nur Amsyar Danish, 3, terselamat.Turut terkorban, pemandu Proton Waja yang merempuh Proton Perdana V6 terbabit, Samir Bhawmick Bimar Kumar Bhawmick, 39, yang dalam perjalanan dari Rasah ke tempat kerjanya di Kuala Lumpur.

Bayi 9 bulan hilang dalam kandungan

ALOR STAR: Impian seorang anggota tentera untuk menimang cahaya mata sulung hasil perkongsian hidup selama dua tahun dengan isterinya tidak tercapai selepas bayi yang dikandung suri rumah itu disahkan hilang selepas sembilan bulan mengandung. Pasangan Mohd Fazli Samsudin, 27, dan Nurul Shuhada Mat Isa, 20, tidak dapat menahan kesedihan dan terkejut selepas dimaklumkan doktor pakar di sebuah pusat bersalin swasta di sini bahawa rahim wanita terbabit kosong ketika melakukan imbasan terakhir, Isnin lalu sebelum dijangka bersalin semalam . Nurul Shuhada disahkan mengandung pada Mac lalu selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Angkatan Tentera (Resat), di Kuala Lumpur dan dijangka bersalin pada 29 November lalu.

Pengajaran kepada Ahli UMNO

PUTRAJAYA 3 Dis. - Pemecatan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim daripada UMNO merupakan satu pengajaran kepada ahli parti yang cuba melakukan perkara yang mengaibkan parti.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Rais Yatim berkata, setiap ahli parti
termasuk
pemimpin tertinggi perlu memahami perjuangan parti dan tidak bertindak melampaui batas.
''Ini adalah selaras dengan dasar parti iaitu seseorang yang tidak lagi membawa perjuangan parti dan melakukan perkara yang boleh mengaibkan parti perlu diambil tindakan.
''Sekiranya MT tidak mengambil tindakan maka ia tampak sebagai satu badan yang tidak berwibawa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Speaker Majlis Ash-Shura Arab Saudi, Dr. Sheikh Saleh Abdullah Humaid bersama enam lagi anggota delegasi lain negara itu di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan Zaid dipecat daripada UMNO ekoran tindakan beliau yang bertentangan dengan etika parti termasuk menghadiri perhimpunan parti pembangkang.
MT UMNO yang bermesyuarat semalam, turut menggantung keanggotaan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim selama tiga tahun kerana membuat kenyataan mengkritik parti.
SUMBER:UTUSAN MALAYSIA