Monday, December 15, 2008

Harga minyak akan turun lagi

Oleh NURUL HUDA HASSAN
PULAU PINANG 14 Dis. - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad hari ini membayangkan harga runcit minyak petrol dan diesel di negara ini akan diturunkan lagi dalam masa terdekat.
Beliau berkata, buat masa ini masih terdapat ruang untuk harga petrol dan diesel diturunkan sedikit lagi berikutan penurunan berterusan harga bahan api itu di pasaran global.
Menurutnya, pada kebiasaannya kerajaan mengadakan semakan terhadap harga bahan api itu pada awal atau pertengahan bulan sebelum membuat sebarang pengumuman.
"Maknanya (sekarang) dah dekat hendak sampai masa kepada penurunan harga itu dan saya mengesahkan bahawa ada ruang untuk harga runcit bahan api itu diturunkan sedikit lagi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Penurunan Harga Barangan Keperluan Harian oleh Pasaraya Sunshine di Sunshine Square, Bayan Baru di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Sunshine Amanjaya Sdn. Bhd., Datuk Abdul Rafique Abdul Karim.
Pada 17 November lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penurunan harga petrol dan diesel sebanyak 15 sen yang merupakan pengurangan kali kelima sejak Ogos lalu.
Langkah itu membolehkan harga petrol RON97 turun daripada RM2.15 kepada RM2 seliter, manakala RON92 dan diesel masing-masing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.
Ia disusuli penurunan harga bahan api itu buat kali keenam awal bulan ini yang menyaksikan pengurangan sebanyak 10 sen kepada RM1.90 bagi petrol dan RM1.80 bagi diesel.
Ekoran daripada itu beliau berkata, rakyat juga tidak akan diberikan subsidi petrol dan diesel lagi apabila harga bahan itu sudah menjadi semakin murah.
''Subsidi hanya diberi apabila harga mencecah pada paras yang tinggi sekali gus membolehkan pengguna mempunyai sedikit duit poket untuk berbelanja dan merancakkan kitaran ekonomi domestik.
''Jadi, jika harga sudah rendah, subsidi tidak perlu diberi lagi dan rakyat tidak juga bolehlah terus mengharapkan agar kerajaan memberi subsidi selama-lamanya," kata Shahrir.
Dalam pada itu, Shahrir turut menyeru semua pihak supaya bekerjasama menjayakan kempen penurunan harga dan tidak meletakkannya di bahu Kementerian dan kerajaan pusat semata-mata.
Katanya, usaha menurunkan harga barang tidak perlu dipolitikkan kerana kerajaan pembangkang juga mempunyai tanggungjawab yang sama untuk menjaga kebajikan rakyat.
Sementara itu, Abdul Rafique memberitahu, Pasaraya Sunshine telah memulakan kempen penurunan harga sejak 8 November lalu hingga 31 Januari tahun depan dan sebanyak 600 produk telah disenaraikan antaranya telur, susu tepung, sayuran, minyak masak dan beras.
"Pihak kami sentiasa menyokong usaha kerajaan berhubung harga barang dan kita percaya kempen ini merupakan kaedah yang terbaik dan bersesuaian dalam usaha membantu meringankan beban rakyat," katanya.

No comments: