Monday, December 15, 2008

Utara: Bimbang lereng Bukit Pinang runtuh

ALOR STAR: Kejadian tanah runtuh yang meranapkan 14 banglo di Bukit Antarabangsa, Selangor, menimbulkan rasa bimbang 29 keluarga di Taman Sireh, Bukit Pinang dekat sini yang rumah mereka terletak hanya 10 meter daripada lereng bukit. Penduduk mendakwa ketika ini berlaku runtuhan kecil selain air turun dengan deras dari Bukit Pinang ketika hujan, fenomena yang sama yang dilaporkan berlaku di Bukit Antarabangsa sebelum kejadian yang mengorbankan empat nyawa, Sabtu lalu. Justeru penduduk meminta pihak berkuasa bertindak segera memeriksa kekukuhan lereng bukit itu bagi menghilangkan keresahan mereka.
Penduduk, Mohd Zalani Md Desa, 43, berkata setiap kali hujan lebat, air dari bukit itu akan mengalir turun dengan deras dan turut menghakis tanah secara kecil-kecilan. Berikutan itu, katanya, sebahagian tanah lereng bukit yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah penduduk runtuh bersama bongkah batu. "Setiap kali hujan, kami sekeluarga sentiasa risau kerana bimbang tanah dari atas bukit akan runtuh dan meranapkan rumah kami seperti di Selangor itu," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Katanya, pihak berkuasa perlu memeriksa struktur bukit dekat perumahan itu dan jika boleh menutup cerun itu dengan plastik. Mohd Zalani berkata, setakat ini, penduduk di taman itu yang berasa terancam dengan keadaan berkenaan sudah menghantar surat kepada pihak berkaitan tetapi belum ada tindakan sehingga ini. Penduduk lain, Zamani Ahmad Razi, 35, pula mendakwa lereng bukit berkenaan hanya dikukuhkan dengan pokok hutan tetapi masih berlaku runtuhan kecil jika hujan lebat. "Kami hanya mengharapkan pagar konkrit setinggi satu meter di belakang taman ini jika berlaku kejadian tanah runtuh," katanya.
Tinjauan Berita Harian mendapati sebuah tembok konkrit setinggi kira-kira satu meter setebal setengah meter dibina bagi memisahkan antara blok rumah teras berkenaan dengan kaki bukit. Kesan aliran air dari bukit dan hakisan juga dapat dilihat dari atas bukit ke arah rumah penduduk.

No comments: