Monday, December 22, 2008

Ujian saringan HIV bukan sekat pasangan kahwin

JOHOR BAHRU 21 Dis. – Kementerian Kesihatan menegaskan ujian saringan HIV yang akan diwajibkan kepada semua bakal pengantin beragama Islam bukan untuk menyekat mana-mana individu daripada berkahwin.
Menterinya, Datuk Liow Tiong Lai berkata, tindakan tersebut sebenarnya dapat memberi peluang kepada individu berkenaan untuk mengetahui tahap kesihatan diri masing-masing.
Katanya, sehingga kini, antara 0.05 hingga 0.1 peratus pasangan yang menjalani ujian saringan HIV praperkahwinan didapati positif.
“Sehubungan itu, saya mengalu-alukan semua bakal pengantin untuk tampil melaksanakan ujian dan kaunseling yang percuma tanpa mengira status agama.
“Pasangan yang bukan beragama Islam juga digalakkan menjalani ujian saringan tersebut. Langkah untuk mengetahui status HIV adalah tindakan yang terbaik sebelum kita terlambat mengetahuinya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Gaya Hidup Sihat dan Kempen Kesedaran HIV bersempena dengan Hari AIDS Sedunia 2008, di sini hari ini.
Program itu anjuran ahli Lembaga Pelawat Hospital Sultanah Aminah dengan kerjasama Persatuan Tindakan dan Penyelidikan AIDS Johor.
Turut hadir Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Mohd. Khairi Yakub, Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Sultanah Aminah (HSA), Md. Ali Alwee dan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Tambah Tiong Lai, sehingga akhir 2007, seramai 80,938 orang disahkan positif HIV.
“Ekoran daripada program kawalan dan pencegahan yang dilaksanakan, trend jangkitan HIV telah mula menurun iaitu daripada 6,978 kes atau 28.5 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada 2002 kepada 4,549 kes atau 16.7 kes bagi 100,000 penduduk pada 2007.
“Bagi 2008, diunjurkan sebanyak 3,452 kes jangkitan HIV atau 12.8 kes bagi setiap 100,000 penduduk,” katanya.
Katanya, melihat kepada tren penurunan tersebut, tidak mustahil untuk Malaysia mencapai matlamat pembangunan alaf sebelum 2015 iaitu menurunkan jangkitan HIV kepada 11 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

No comments: