Monday, December 15, 2008

Tubuh badan tindakan khas bencana

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) mencadangkan Badan Tindakan Khas diwujudkan bagi menyiasat punca sebenar kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa di sini.
Presiden Rehda, Datuk Ng Seing Liong berkata, badan itu penting bagi menentukan punca utama yang menyebabkan tanah di kawasan itu runtuh.
"Kita harus mencari sebab kejadian tidak diingini ini dan pihak yang bertanggungjawab.
"Namun kini apa yang lebih penting, tumpuan harus diberikan untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap dan mendekati keluarga yang kehilangan orang tersayang serta memerlukan bantuan, perlindungan dan keselesaan akibat bencana ini," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Seing Liong berkata, Rehda bersedia terlibat dalam apa-apa bantuan yang diperlukan berhubung kejadian itu
.
Beliau berkata, Rehda juga ada menghantar pasukan bantuan khas dan peralatan bagi membantu kerja-kerja menyelamat.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kesal dengan ketiadaan sistem pemantauan secara berkala dan sistematik di situ walaupun kejadian tanah runtuh di kawasan itu bukan pertama kali berlaku.
"Seharusnya pihak berkenaan di kawasan terbabit atau perumahan lain perlu lebih proaktif dalam memastikan keselamatan penduduk di kawasan mereka kerana bila berlakunya kejadian seperti ini, pelbagai pihak menuding jari dan mangsanya adalah penduduk," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
"Sistem Maklumat Geografi (Gis) adalah salah satu cara yang perlu digunakan bagi mengesan serta mengenalpasti kawasan yang berisiko tinggi seperti di situ dan kepakaran Gis mudah diperoleh di universiti tempatan," katanya.
Dengan ketiadaan sistem amaran dan mengenalpasti kawasan berisiko tinggi, jelasnya, mungkin ramai lagi yang akan kehilangan nyawa serta harta benda jika berlakunya bencana sama.

No comments: