Tuesday, December 23, 2008

Harga barang dijangkaturun suku pertama 2009

TELUK INTAN 22 Dis. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yakin harga kebanyakan barangan akan turun dengan ketara pada suku pertama tahun depan.
Menterinya, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, penurunan harga itu dijangka berlaku selepas pihaknya mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pembekal, pembuat atau pengeluar serta pemborong mulai Januari depan.
''Pihak kementerian telah mendapat kerjasama yang baik daripada peruncit termasuk pemilik pasar raya besar asing dan tempatan dalam kempen menurunkan harga barang.
''Sebanyak 16 buah syarikat telah berusaha menurunkan harga jualan masing-masing dan kini sudah tiba masanya kita bertemu dengan pengeluar dan pemborong supaya kempen penurunan harga ketika keadaan ekonomi meleset menjadi lebih berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Penurunan Harga di pasar raya TF Value-Mart di sini hari ini.
Shahrir berkata, pertemuan dengan pihak pengeluar dan pemborong telah diadakan sebelum ini, namun mereka tidak mampu menurunkan harga kerana banyak faktor termasuk membeli stok bahan mentah pada harga tinggi.
Bagaimanapun, jelasnya, kebanyakan harga bahan mentah sekarang sudah turun dan amat wajar bagi pengeluar dan pemborong mula menurunkan harga demi kepentingan pengguna.
Katanya, antara bahan mentah yang menunjukkan penurunan harga adalah gula, tepung, beras dan susu.
''Kita akan minta mereka turunkan harga supaya pihak peruncit dapat menurunkan lagi harga barangan.
''Jika pengeluar tidak turunkan harga, perniagaan mereka juga yang akan rugi kerana dalam keadaan ekonomi menguncup, pengguna tidak mampu lagi membeli harga barangan yang terlalu mahal," ujar beliau.
Tambahnya, pada masa sama, pihak kementerian akan turut mengadakan pertemuan dengan Petronas untuk meminta syarikat itu menurunkan harga minyak pelincir.

No comments: