Wednesday, January 28, 2009

BN perlu umum bakal calon pilihan raya lebih awal

credit to Utusan 28 Jan 2009
KUALA LUMPUR 27 Jan. - Barisan Nasional (BN) perlu mengenal pasti dan menyenaraikan calon-calon parti itu lebih awal untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang bagi memudahkan pengundi mengenali mereka.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Datuk Razali Ibrahim berkata, tradisi parti memperkenalkan calon pilihan raya pada saat-saat akhir, mencetuskan pelbagai masalah sehingga akhirnya menjejaskan kempen.
Katanya, berdasarkan pengalaman pada tahun 2004, beliau turut berdepan dengan kesukaran setelah diumumkan sebagai calon BN bagi Parlimen Muar kerana terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan dalam masa yang singkat.
''Biasanya bila sebulan atau dua bulan menjelang pilihan raya umum, barulah nama-nama calon dikemukakan kepada parti.
''Amalan ini akan menimbulkan banyak masalah antaranya kenapa pada saat-saat akhir ramai calon yang berminat sedangkan dua tiga tahun sebelum itu, hanya penyandang jawatan yang bekerja keras untuk menjadi calon,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas cadangan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa BN perlu mempunyai sistem pemilihan bagi mengenal pasti calon yang sesuai pada pilihan raya umum akan datang.
Langkah tersebut untuk mengukuh serta memulihkan UMNO dan BN ekoran keyakinan rakyat terhadap kerajaan kini berada pada tahap paling rendah.
Razali menambah, jumlah calon yang berpotensi mewakili sesuatu kawasan juga tidak wajar dihadkan kerana BN akan menjadi kukuh sekiranya lebih ramai yang berminat untuk bertanding.
''Selain ada seorang wakil rakyat secara rasmi, BN akan mempunyai beberapa pemimpin lain yang turut berkhidmat kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata, nama bakal calon boleh diumumkan bermula sekarang bagi membolehkan mereka dilatih dari segenap aspek.
''Sama ada dapat atau tidak menjadi calon, ia akan diputuskan oleh parti,'' katanya.
Beliau berkata, penyandang jawatan sememangnya mempunyai kelebihan namun mereka perlu bersaing terlebih dahulu dengan bakal calon.
''Kalau ada di antara bakal calon ini masih tidak dikenali pengundi di kawasan itu menjelang pilihan raya umum, itu menunjukkan mereka telah gagal,'' katanya.

Undang-undang antilompat parti perlu diperkenalkan

Credit to Utusan Malaysia 29 Jan 2009
KUALA LUMPUR 27 Jan. - Sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan satu bentuk undang-undang yang boleh menyekat wakil rakyat daripada melompat parti bagi memastikan amalan politik di Malaysia lebih bermoral.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, perkara itu pernah dibangkitkan di Parlimen dan beliau sendiri pernah membahaskannya pada November tahun lalu berikutan wujud gerakan mempengaruhi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menyertai parti pembangkang.
Katanya, walaupun usaha yang dilakukan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan tidak mendapat sambutan tetapi akhirnya seorang wakil rakyat BN, Datuk Nasaruddin Hashim kelmarin berjaya dipujuk untuk menyertai pakatan pembangkang.
''Kerajaan perlu memandang serius tentang perkembangan ini. Jika undang-undang tersebut tidak digubal segera ia akan menyebabkan amalan berpolitik di Malaysia akan tercemar dengan perbuatan khianat (kepada pengundi).
''Saya sedia memperjuangkan penggubalan undang-undang ini di Parlimen. Saya terdorong untuk berbuat demikian kerana saya juga adalah antara Ahli Parlimen yang cuba dipengaruhi oleh Anwar,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Nasaruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota meninggalkan BN dan UMNO untuk menyertai PKR.
Dalam perkembangan sama, Ketua Penerangan Puteri UMNO, Datuk Shahaniza Shamsuddin juga mahu kerajaan memikirkan secara serius mengenai cadangan memperkenalkan undang-undang antilompat parti.
''Dengan adanya peraturan ini ia dapat mencegah wakil rakyat melompat daripada satu parti ke satu parti kerana amalan seperti ini jika dibiarkan boleh merosakkan sistem politik negara,'' katanya

Bukukan jasa bekas menteri - PM


Credit to Utusan Malaysia 28 Jan 09

PUTRAJAYA 27 Jan. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyarankan agar setiap pengorbanan, jasa serta sumbangan bekas-bekas menteri dibukukan untuk tatapan generasi akan datang.
Perdana Menteri berkata, dengan berbuat demikian, jasa mereka untuk membangun dan memajukan Malaysia sehingga menjadi antara negara kecil yang paling dihormati di dunia akan sentiasa diingati rakyat.
"Saya berharap buku ini menjadi tatapan semua pihak, baik pemimpin negara mahu pun rakyat supaya perjuangan menteri-menteri ini bukan sahaja dikenang malahan dijadikan renungan, panduan serta pedoman bersama.
"Di manalah kita tanpa khidmat bakti dan sumbangan besar pemimpin-pemimpin terdahulu yang bersama membangun dan memajukan Malaysia sehingga menjadi antara negara kecil yang disegani dunia," katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam teks ucapan sempena majlis pelancaran buku Menteri-Menteri Malaysia 1955-2008 yang dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini.
Buku terbitan Koperasi Belia Nasional Berhad (Kobena) itu memaparkan senarai penuh, keterangan dan kenangan perkhidmatan seramai 117 bekas menteri Kabinet dalam era berkenaan.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Pengerusi Eksekutif Kobena Berhad, Datuk Ibrahim Mat Din.

Tuesday, January 20, 2009

Surat terbuka untuk Barack Obama

credit to: ABDUL RAZAK IDRISBanting, Selangor-Utusan

TAHNIAH atas pelantikan tuan ke jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS). Ucapan ini mewakili suara hati penduduk dunia sebelah Timur. Impian keemasan kami ingin melihat tuan menangani secara serius konflik di Semenanjung Gaza sebagai mana prinsip keadilan dan perubahan yang tuan laungkan.
Perubahan dalam erti kata sebenar daripada yang lama kepada yang baru. Daripada yang tidak adil kepada adil, daripada sejarah pahit kepada lembaran baru yang lebih bermakna.
Suasana ekonomi dunia yang dikuasai oleh segelintir puak yang dianggap suram turut memerlukan perhatian pihak tuan. Sesungguhnya keamanan adalah modal semasa untuk mencapai keadilan dan kemantapan ekonomi.
Negara bergolak seperti Iraq, Sudan, Rwanda selain Palestin memerlukan tangan tuan untuk mengawalnya. Kata bijak pandai politik -- menjadi Presiden bukan seumpama berjalan di dalam Taman Firdausi.
Kerusi nombor satu ini menjadi idaman semua orang. Jika tidak percaya, tanya Setiausaha Negara tuan. Sebagai meraikan prinsip globalisasi dan demokrasi terbesar dunia setiap kali pelantikan Presiden baru AS, ia menjadi satu temasya pengharapan yang gilang-gemilang. Harapan agar ada Presiden yang mampu memberi kedamaian kepada rakyat Palestin yang semakin berkurangan di dunia.
Jika tuan tidak membaca statistik, korban Palestin sudah melebihi 1,200 orang. Itu pun yang dilaporkan agensi berita kepada media kami. Mungkin lebih kurang atau lebih banyak daripada yang diumumkan. Apa yang pasti peluru yang ada belum cukup, hingga dihantar satu kapal dari AS secara tender ke Israel.
Kami diberitahu dengan memboikot produk dari negara tuan segala masalah akan selesai daripada segi ekonomi. Kami bukan memboikot membuta-tuli cuma kami merasakan apa yang kami bayar akan dijadikan modal untuk membunuh saudara seagama kami.
Tuan pernah bermastautin di Indonesia dan tuan sendiri pernah hidup dalam komuniti Islam yang saling menyayangi Muslim yang lain. Apa salah kami memboikot produk AS jika sahih ia dijadikan sumber membiayai perjuangan rejim Zionis yang dipimpin dan dibiayai insan-insan terpilih oleh Tuhan untuk menjadi bijak pandai dan berbakat.
Orang Islam bukannya berminat sangat untuk menjadi 'pengganas' jika hak milik mereka dan nenek moyang mereka tidak diusik dan dirampas atas sokongan propaganda sejarah yang berlangsung beratus tahun dahulu.
Siapa yang benar-benar teruja hendak belajar memandu kapal terbang hanya untuk menemui ajal selain daripada manusia yang benar-benar tidak mempunyai pilihan di meja perundingan. Rundingan demi rundingan, gencatan demi gencatan di Gaza telah berlangsung.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dianggap medan untuk menyelesaikan masalah namun ahli Majlis Keselamatan akan pulang hampa apabila AS mengeluarkan veto, yang diharapkan ialah vote (undi menyokong) tapi yang terjadi, sebaliknya.
Tuan, 20 Januari 2009 mungkin hari biasa bagi kami dan penduduk Palestin yang hidup dalam ancaman peluru berpandu yang tidak berhati dan berakal seperti kita. Namun pada tarikh tersebut walaupun jawatan tertinggi di dunia itu mempunyai seribu rahsia dan protokol, diharap tuan boleh mula berbuat sesuatu untuk merealisasikan perubahan untuk rakyat AS dan seluruh dunia terutama di bumi Palestin.
Keamanan di Palestin dengan permulaan gencatan senjata antara Israel dan Hamas serta pemulihan total untuk rakyat Palestin dari segi infrastruktur dan ketetapan sempadan adalah menjadi cita-cita kami sebagai penduduk dunia yang cintakan keadilan sejagat dan perubahan positif dalam keamanan dunia.
Percayalah tuan setelah dentuman bom dan balingan batu reda, pemulihan ekonomi dunia pasti akan lebih mudah dilakukan. Selamat berjaya tuan Presiden
.

DUNIA PERLU HERET ISRAEL KE MAHKAMAH JENAYAH ANTARABANGSA

GENCATAN senjata dengan tiga syarat "jelas lagi mudah" yang ditawarkan Hamas pada 15 Januari lalu disambut oleh Israel apabila rejim Zionis itu mula menghentikan bedilan ke Gaza, kelmarin.
Bedilan itu 'berakhir' pada awal pagi 18 Januari iaitu sekitar pukul 2 pagi (8 pagi waktu Malaysia), ketika pengeboman ke atas wilayah Palestin itu bakal memasuki hari ke-23.
Gencatan itu bagaimanapun masih termaktub kepada ihsan Israel apabila Perdana Menterinya, Ehud Olmert menegaskan, ia sebagai langkah yang 'rapuh dan akan dinilai semula dengan kerap'.
Sehingga semalam, serangan ke atas wilayah yang dikuasai Hamas itu tidak lagi kedengaran dan mungkin boleh membuatkan penduduk di situ menghela nafas lega.
Persoalannya, sejauh mana Israel akan akur dengan ikrar gencatan tersebut?
Mengenali kerenah rejim Zionis, banyak pihak skeptikal dengan usaha gencatan sementara itu.
Mungkin Israel menghentikan serangan sebagai menghormati sekutu rapatnya, Amerika Syarikat (AS) yang berada pada saat akhir persiapan menjelang majlis angkat sumpah Barack Obama.
Bagaimanapun, sekiranya gencatan senjata berlangsung sehingga proses rundingan damai mengambil tempat, adakah dosa rejim Zionis itu mahu diampunkan begitu sahaja?
Perlu diingat, operasi Cast Lead oleh Israel sejak 27 Disember lalu telah meragut sekurang-kurangnya 1,245 nyawa penduduk Palestin dengan lebih 5,300 yang lain cedera. Itu tidak termasuk kemusnahan harta-benda yang memerlukan dana berbilion-bilion dolar untuk pembangunan semula.
Melihat pada kesan kemusnahan "sumbangan" Zionis di Gaza itu, adalah sesuatu yang kurang munasabah untuk pihak-pihak seperti Majlis Keselamatan PBB, serta blok-blok kerjasama seperti Liga Arab dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mengambil sikap berdiam diri.
Jangan lepaskan Israel! Negara Yahudi itu perlu memikul tanggungjawab ke atas kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda di Gaza.
Sekiranya sebelum ini ada pihak yang mendesak Israel dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), usaha itu tidak harus terhenti di tengah jalan.
Jika sebelum ini ada usaha untuk membawa pemimpin Sudan, Omar al-Beshir ke ICC atas tuduhan jenayah kemanusiaan berdasarkan apa yang berlaku di Darfur, maka kita tidak nampak di mana perlunya pengecualian untuk Israel.
Dalam soal ini, ketua pendakwa ICC, Luis Moreno-Ocampo perlu bertindak agar beliau dan pasukannya tidak dianggap berat sebelah.
Jika tiada tindakan selepas apa yang dilakukan ke atas Gaza, Israel akan meneruskan sikap besar kepalanya.
Lihat sahaja kepada apa yang berlaku sebelum ini. Bagaimana rejim Zionis terlepas daripada diheret ke pengadilan antarabangsa selepas perang ke atas Hizbullah di selatan Lebanon.
Dunia hanya marah ketika Lebanon musnah akibat keganasan Israel. Namun segala-galanya "pulih dan dilupakan" selepas perang berakhirnya.
Adakah senario serupa akan berulang selepas tragedi di Gaza ini?
Jika ya, Israel akan terus bermaharajalela. Ia akan menyerang Palestin bila terasa ingin berbuat demikian dan kemudian menawarkan gencatan senjata.
Apa yang pasti, itulah ulangan kisah yang akan berlaku sekiranya dunia terus berpeluk tubuh.
Ketika Israel membedil Palestin, seluruh dunia melatah. Pelbagai kecaman dibuat.
Banyak pihak mula memboikot produk Israel dan sekutunya, AS. Namun ia biasanya terhenti setakat itu sahaja.
Dosa dan kekejaman Israel tidak boleh dimaafkan. Jika negara-negara di dunia takut menggerakkan usaha membawa Israel ke ICC, kita menggesa biar kerajaan Malaysia yang melakukannya.

Tentera Israel perlu berundur


MANAMA (Bahrain) 19 Jan. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat dari Bahrain, Shaikh Khalifa Salman Al Khalifa hari ini dan menyuarakan keprihatinan beliau mengenai serangan tentera Israel terhadap penduduk Palestin di Genting Gaza yang setakat ini telah mengorbankan lebih 1,000 nyawa.
Seorang pegawai kanan di Jabatan Perdana Menteri berkata, pertemuan yang diadakan lebih setengah jam itu turut membincangkan mengenai gencatan senjata yang ternyata tidak akan memberi sebarang kesan jika beberapa syarat yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) tidak dipatuhi oleh rejim Zionis itu.
Menurut beliau, Abdullah menekankan gencatan senjata itu mestilah bersifat kekal dan tentera Israel perlu berundur sepenuhnya dari Genting Gaza dan sekatan Israel di wilayah itu ditarik sepenuhnya.
Kedua-dua pemimpin itu mengetuai rombongan masing-masing pada perbincangan yang berlangsung di Istana Gudaibiya di sini.
Dalam ucapannya pada permulaan perbincangan Abdullah menyentuh mengenai usaha mempertingkatkan hubungan dua hala, selain mengenai serangan kejam Israel terhadap penduduk Palestin di Genting Gaza sejak 27 Disember tahun lepas.
“Perdana Menteri berpendapat bahawa pengisytiharan gencatan senjata tidak akan membawa kesan sekiranya beberapa syarat tidak dipenuhi,” katanya.
Katanya lagi, gencatan senjata itu mestilah bersifat kekal, tentera Israel perlu berundur sepenuhnya dari Gaza, sekatan Israel di Gaza ditarik balik sepenuhnya dan pasukan pengaman PBB ditempatkan di situ.
Dalam perbincangan itu juga, menurut beliau, Abdullah mahu supaya Suruhanjaya Bersama Malaysia-Bahrain membincangkan cara meningkatkan hubungan dua hala.
“Perdana Menteri melahirkan harapan agar Proton dan Perodua dapat memasuki pasaran Bahrain dan menyuarakan hasrat Malaysia yang ingin bekerjasama dengan Bahrain dalam bidang seperti pelancongan, perbankan dan kewangan Islam, produk dan perkhidmatan halal selain pendidikan.
‘‘Terdapat banyak syarikat Malaysia yang terlibat dalam proses pembangunan di Bahrain antaranya empat institusi kewangan, lapan syarikat pembinaan, dua syarikat arkitek dan dua syarikat rangkaian makanan,” katanya.

200,000 pekerja hilang kerja?

KUALA LUMPUR 19 Jan. – Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menjangkakan 200,000 pekerja di negara ini terpaksa diberhentikan berikutan merudumnya ekonomi global berbanding 85,000 pekerja sewaktu kemelesetan ekonomi 1998.
Menurut MEF yang dianggotai 4,500 majikan itu, kemelesetan ekonomi global 1998 hanya membabitkan peringkat Asia berbanding krisis semasa yang lebih meluas kesannya.
Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata, sektor yang terjejas teruk pada masa ini ialah industri komponen elektronik dan elektrikal apabila ada di antaranya tidak menerima tempahan produk untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Menurut beliau, sebagai langkah bertahan, syarikat terbabit mula melakukan pemotongan kos operasi dengan menghapuskan sistem kerja lebih masa atau menghentikan pekerja dan bagi kes yang kritikal, sudah ada yang menutup operasi atau cawangan.
Katanya, perkembangan negatif itu berpunca daripada kekalutan ekonomi global sehingga menguncupkan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Jepun yang menjadi pasaran utama produk elektrik dan elektronik negara.
“Keadaan ini dijangka berlarutan sehingga 2010 dan paling awal pasaran dapat distabilkan ialah dalam jangka masa 18 bulan.
“Pada 1998, seramai 85,000 pekerja diberhentikan dan kali ini kita jangka angka itu meningkat sekali ganda mencecah 200,000 orang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam bahawa kira-kira 45,000 pekerja dari pelbagai sektor pengilangan mungkin kehilangan pekerjaan apabila kebanyakan kilang akan memberhentikan sementara pekerja menjelang perayaan Tahun Baru Cina pada hujung bulan ini.
Shamsuddin berkata, menyedari keadaan yang semakin getir, MEF telah bersemuka dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi mengemukakan beberapa cadangan untuk memastikan syarikat yang mula tenat itu diberi sedikit bantuan untuk bernafas.
Katanya, MEF telah mencadangkan kepada kerajaan untuk meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyemak semula kenaikan tarif elektrik sebanyak 26 peratus yang mula dikuatkuasakan pada Julai 2008.
“Semakan kadar itu bukan sahaja untuk sektor industri dan perniagaan bahkan orang ramai juga berhak menikmati kadar tarif baru.
“Kalau kedua-dua sektor ini terbeban, duit tak ada banyak dan orang pun tak berbelanja, sebab itulah kita perlu merangsang ekonomi dalam negara,” katanya.
Beliau berkata, MEF juga mencadangkan kerajaan menggantung pembayaran levi satu peratus daripada jumlah pembayaran gaji pekerja pada setiap bulan kepada Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).
Katanya, walaupun menyedari caruman itu bertujuan mengisi dana latihan pekerja, namun MEF berpendapat lebih elok jika kerajaan menggantung sementara caruman tersebut.

Tuesday, January 13, 2009

Lari dari Zionis


Israel kerah ribuan anggota unit tentera simpanan dengan misi serangan lebih dahsyat.
Beberapa pertempuran hebat dilaporkan berlaku antara askar Yahudi dan pejuang Hamas.
Perancis mencadangkan tentera Eropah dihantar ke Gaza untuk gencatan senjata.
Iran gesa semua negara Islam bersatu bagi halang keganasan Israel di Gaza.

Dakwa penjenayah Israel

KUALA LUMPUR 12 Jan. Sebanyak 10 usul dikeluarkan pada Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai kekejaman rejim Zionis di Gaza, yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam.
Berikut adalah lima daripada sepuluh resolusi yang dikeluarkan.
- Menggesa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan serta-merta satu tribunal jenayah antarabangsa bagi menyiasat dan mendakwa penjenayah perang Israel yang terlibat dengan kekejaman dan keganasan ke atas rakyat Palestin.
- Mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin termasuk golongan wanita, kanak-kanak, bayi dan warga tua serta menggesa pengunduran menyeluruh Israel dari wilayah Palestin di Gaza;
- Menggesa Majlis Keselamatan PBB membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serta-merta serangan ketenteraannya ke atas wilayah Palestin di Gaza melalui gencatan senjata dan meluluskan penempatan pasukan pengaman PBB bagi menguatkuasakan gencatan senjata tersebut;
- Menggesa Perhimpunan Agung PBB mengadakan sesi tergempar khas Uniting For Peace di bawah Resolusi 377A(V) sekiranya Majlis Keselamatan PBB gagal menguatkuasakan ketetapan yang diputuskan pada 8 Januari 2009;
- Menggesa pihak-pihak yang terlibat supaya menyambung semula proses damai serta melaksanakan dan mematuhi pelbagai resolusi yang telah ditetapkan oleh PBB berhubung isu Palestin dan konflik Arab-Israel.

Wednesday, January 7, 2009

Israel terus membedil, sekolah sasaran terbaru

BANDAR GAZA 7 Jan. – Tentera Israel terus membedil kubu pertahanan Hamas di Gaza mengakibatkan jumlah kematian rakyat Palestin meningkat 660 orang setakat ini.
Terbaru semalam, serangan tentera rejim Zionis ke atas sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyaksikan sekurang-kurangnya 48 lagi terkorban.
Setiausaha PBB, Ban Ki-moon menyifatkan serangan ke atas sekolah sebagai perbuatan paling biadab.
Majlis Keselamatan PBB kini berbincang dengan Presiden Mesir, Hosni Mubarak di New York bagi memastikan serangan itu dihentikan segera.
Menurut pasukan perubatan, serangan berterusan itu telah membunuh dan mencederakan ramai rakyat Palestin di Zeitun, pinggir bandar Gaza, di mana tentera Yahudi menerima tentangan hebat daripada pejuang Hamas.
Serangan di Zeitun semakin sengit, manakala Khan Yunis dan Rafah di selatan bandar berkenaan terus dihujani dengan bedilan udara. – AFP

Beli barangan Malaysia

PUTRAJAYA 6 Jan. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melancarkan kempen membeli barangan buatan tempatan pada 16 Januari ini dalam usaha kerajaan merangsang pertumbuhan ekonomi bagi berdepan kelembapan ekonomi global.
Menterinya, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, kempen meliputi seluruh negara itu akan berlangsung selama setahun bagi memastikan ia menjadi amalan berterusan rakyat pada masa depan.
Selain itu, kata beliau, kempen berkenaan juga akan memberi peluang menjana pendapatan kepada pengeluar tempatan serta menyediakan pekerjaan kepada rakyat.
''Kempen sebegini akan mengembalikan suasana di mana rakyat menumpukan untuk membeli barangan tempatan dan tidak lagi bergantung kepada pasaran eksport.
''Ia sekali gus membantu merangsang pertumbuhan ekonomi negara kerana meningkatnya permintaan domestik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan amanat tahun baru kepada para pegawai dan kakitangan KPDNHEP di sini hari ini.
Shahrir bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya sama ada kempen tersebut melibatkan usaha memboikot produk Amerika Syarikat (AS) dan Israel berikutan serangan rejim Zionis ke atas Gaza sejak 27 Disember lalu.
Menurut beliau, kempen berkenaan melibatkan pelbagai kementerian kerana promosi yang dijalankan turut meliputi ekspo dan pameran yang dianjurkan kementerian masing-masing.
Beliau juga berharap kempen sedemikian akan menjadikan pengeluar tempatan lebih berusaha untuk memperkenalkan jenama bernilai pada harga rendah.

Kejam! Kejam! Kejam!


Penduduk Palestin berada di ambang maut apabila bantuan ubat-ubatan, air bersih dan makanan tidak dapat disalurkan akibat sekatan Israel.
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) sifatkan keadaan di Gaza sangat-sangat berbahaya dan meruncing.
Semua hospital di Gaza kehabisan bekalan darah dan ubat-ubatan terutama vaksin tetanus untuk kanak-kanak.
Rejim Zionis tidak akan mengadakan gencatan senjata selagi Hamas tidak ‘berundur’ dan berhenti melepaskan tembakan roket ke wilayah Israel.