Tuesday, January 13, 2009

Dakwa penjenayah Israel

KUALA LUMPUR 12 Jan. Sebanyak 10 usul dikeluarkan pada Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai kekejaman rejim Zionis di Gaza, yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam.
Berikut adalah lima daripada sepuluh resolusi yang dikeluarkan.
- Menggesa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan serta-merta satu tribunal jenayah antarabangsa bagi menyiasat dan mendakwa penjenayah perang Israel yang terlibat dengan kekejaman dan keganasan ke atas rakyat Palestin.
- Mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin termasuk golongan wanita, kanak-kanak, bayi dan warga tua serta menggesa pengunduran menyeluruh Israel dari wilayah Palestin di Gaza;
- Menggesa Majlis Keselamatan PBB membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serta-merta serangan ketenteraannya ke atas wilayah Palestin di Gaza melalui gencatan senjata dan meluluskan penempatan pasukan pengaman PBB bagi menguatkuasakan gencatan senjata tersebut;
- Menggesa Perhimpunan Agung PBB mengadakan sesi tergempar khas Uniting For Peace di bawah Resolusi 377A(V) sekiranya Majlis Keselamatan PBB gagal menguatkuasakan ketetapan yang diputuskan pada 8 Januari 2009;
- Menggesa pihak-pihak yang terlibat supaya menyambung semula proses damai serta melaksanakan dan mematuhi pelbagai resolusi yang telah ditetapkan oleh PBB berhubung isu Palestin dan konflik Arab-Israel.

No comments: