Tuesday, January 20, 2009

Tentera Israel perlu berundur


MANAMA (Bahrain) 19 Jan. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat dari Bahrain, Shaikh Khalifa Salman Al Khalifa hari ini dan menyuarakan keprihatinan beliau mengenai serangan tentera Israel terhadap penduduk Palestin di Genting Gaza yang setakat ini telah mengorbankan lebih 1,000 nyawa.
Seorang pegawai kanan di Jabatan Perdana Menteri berkata, pertemuan yang diadakan lebih setengah jam itu turut membincangkan mengenai gencatan senjata yang ternyata tidak akan memberi sebarang kesan jika beberapa syarat yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) tidak dipatuhi oleh rejim Zionis itu.
Menurut beliau, Abdullah menekankan gencatan senjata itu mestilah bersifat kekal dan tentera Israel perlu berundur sepenuhnya dari Genting Gaza dan sekatan Israel di wilayah itu ditarik sepenuhnya.
Kedua-dua pemimpin itu mengetuai rombongan masing-masing pada perbincangan yang berlangsung di Istana Gudaibiya di sini.
Dalam ucapannya pada permulaan perbincangan Abdullah menyentuh mengenai usaha mempertingkatkan hubungan dua hala, selain mengenai serangan kejam Israel terhadap penduduk Palestin di Genting Gaza sejak 27 Disember tahun lepas.
“Perdana Menteri berpendapat bahawa pengisytiharan gencatan senjata tidak akan membawa kesan sekiranya beberapa syarat tidak dipenuhi,” katanya.
Katanya lagi, gencatan senjata itu mestilah bersifat kekal, tentera Israel perlu berundur sepenuhnya dari Gaza, sekatan Israel di Gaza ditarik balik sepenuhnya dan pasukan pengaman PBB ditempatkan di situ.
Dalam perbincangan itu juga, menurut beliau, Abdullah mahu supaya Suruhanjaya Bersama Malaysia-Bahrain membincangkan cara meningkatkan hubungan dua hala.
“Perdana Menteri melahirkan harapan agar Proton dan Perodua dapat memasuki pasaran Bahrain dan menyuarakan hasrat Malaysia yang ingin bekerjasama dengan Bahrain dalam bidang seperti pelancongan, perbankan dan kewangan Islam, produk dan perkhidmatan halal selain pendidikan.
‘‘Terdapat banyak syarikat Malaysia yang terlibat dalam proses pembangunan di Bahrain antaranya empat institusi kewangan, lapan syarikat pembinaan, dua syarikat arkitek dan dua syarikat rangkaian makanan,” katanya.

No comments: