Tuesday, January 20, 2009

DUNIA PERLU HERET ISRAEL KE MAHKAMAH JENAYAH ANTARABANGSA

GENCATAN senjata dengan tiga syarat "jelas lagi mudah" yang ditawarkan Hamas pada 15 Januari lalu disambut oleh Israel apabila rejim Zionis itu mula menghentikan bedilan ke Gaza, kelmarin.
Bedilan itu 'berakhir' pada awal pagi 18 Januari iaitu sekitar pukul 2 pagi (8 pagi waktu Malaysia), ketika pengeboman ke atas wilayah Palestin itu bakal memasuki hari ke-23.
Gencatan itu bagaimanapun masih termaktub kepada ihsan Israel apabila Perdana Menterinya, Ehud Olmert menegaskan, ia sebagai langkah yang 'rapuh dan akan dinilai semula dengan kerap'.
Sehingga semalam, serangan ke atas wilayah yang dikuasai Hamas itu tidak lagi kedengaran dan mungkin boleh membuatkan penduduk di situ menghela nafas lega.
Persoalannya, sejauh mana Israel akan akur dengan ikrar gencatan tersebut?
Mengenali kerenah rejim Zionis, banyak pihak skeptikal dengan usaha gencatan sementara itu.
Mungkin Israel menghentikan serangan sebagai menghormati sekutu rapatnya, Amerika Syarikat (AS) yang berada pada saat akhir persiapan menjelang majlis angkat sumpah Barack Obama.
Bagaimanapun, sekiranya gencatan senjata berlangsung sehingga proses rundingan damai mengambil tempat, adakah dosa rejim Zionis itu mahu diampunkan begitu sahaja?
Perlu diingat, operasi Cast Lead oleh Israel sejak 27 Disember lalu telah meragut sekurang-kurangnya 1,245 nyawa penduduk Palestin dengan lebih 5,300 yang lain cedera. Itu tidak termasuk kemusnahan harta-benda yang memerlukan dana berbilion-bilion dolar untuk pembangunan semula.
Melihat pada kesan kemusnahan "sumbangan" Zionis di Gaza itu, adalah sesuatu yang kurang munasabah untuk pihak-pihak seperti Majlis Keselamatan PBB, serta blok-blok kerjasama seperti Liga Arab dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mengambil sikap berdiam diri.
Jangan lepaskan Israel! Negara Yahudi itu perlu memikul tanggungjawab ke atas kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda di Gaza.
Sekiranya sebelum ini ada pihak yang mendesak Israel dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), usaha itu tidak harus terhenti di tengah jalan.
Jika sebelum ini ada usaha untuk membawa pemimpin Sudan, Omar al-Beshir ke ICC atas tuduhan jenayah kemanusiaan berdasarkan apa yang berlaku di Darfur, maka kita tidak nampak di mana perlunya pengecualian untuk Israel.
Dalam soal ini, ketua pendakwa ICC, Luis Moreno-Ocampo perlu bertindak agar beliau dan pasukannya tidak dianggap berat sebelah.
Jika tiada tindakan selepas apa yang dilakukan ke atas Gaza, Israel akan meneruskan sikap besar kepalanya.
Lihat sahaja kepada apa yang berlaku sebelum ini. Bagaimana rejim Zionis terlepas daripada diheret ke pengadilan antarabangsa selepas perang ke atas Hizbullah di selatan Lebanon.
Dunia hanya marah ketika Lebanon musnah akibat keganasan Israel. Namun segala-galanya "pulih dan dilupakan" selepas perang berakhirnya.
Adakah senario serupa akan berulang selepas tragedi di Gaza ini?
Jika ya, Israel akan terus bermaharajalela. Ia akan menyerang Palestin bila terasa ingin berbuat demikian dan kemudian menawarkan gencatan senjata.
Apa yang pasti, itulah ulangan kisah yang akan berlaku sekiranya dunia terus berpeluk tubuh.
Ketika Israel membedil Palestin, seluruh dunia melatah. Pelbagai kecaman dibuat.
Banyak pihak mula memboikot produk Israel dan sekutunya, AS. Namun ia biasanya terhenti setakat itu sahaja.
Dosa dan kekejaman Israel tidak boleh dimaafkan. Jika negara-negara di dunia takut menggerakkan usaha membawa Israel ke ICC, kita menggesa biar kerajaan Malaysia yang melakukannya.

No comments: