Tuesday, January 20, 2009

Surat terbuka untuk Barack Obama

credit to: ABDUL RAZAK IDRISBanting, Selangor-Utusan

TAHNIAH atas pelantikan tuan ke jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS). Ucapan ini mewakili suara hati penduduk dunia sebelah Timur. Impian keemasan kami ingin melihat tuan menangani secara serius konflik di Semenanjung Gaza sebagai mana prinsip keadilan dan perubahan yang tuan laungkan.
Perubahan dalam erti kata sebenar daripada yang lama kepada yang baru. Daripada yang tidak adil kepada adil, daripada sejarah pahit kepada lembaran baru yang lebih bermakna.
Suasana ekonomi dunia yang dikuasai oleh segelintir puak yang dianggap suram turut memerlukan perhatian pihak tuan. Sesungguhnya keamanan adalah modal semasa untuk mencapai keadilan dan kemantapan ekonomi.
Negara bergolak seperti Iraq, Sudan, Rwanda selain Palestin memerlukan tangan tuan untuk mengawalnya. Kata bijak pandai politik -- menjadi Presiden bukan seumpama berjalan di dalam Taman Firdausi.
Kerusi nombor satu ini menjadi idaman semua orang. Jika tidak percaya, tanya Setiausaha Negara tuan. Sebagai meraikan prinsip globalisasi dan demokrasi terbesar dunia setiap kali pelantikan Presiden baru AS, ia menjadi satu temasya pengharapan yang gilang-gemilang. Harapan agar ada Presiden yang mampu memberi kedamaian kepada rakyat Palestin yang semakin berkurangan di dunia.
Jika tuan tidak membaca statistik, korban Palestin sudah melebihi 1,200 orang. Itu pun yang dilaporkan agensi berita kepada media kami. Mungkin lebih kurang atau lebih banyak daripada yang diumumkan. Apa yang pasti peluru yang ada belum cukup, hingga dihantar satu kapal dari AS secara tender ke Israel.
Kami diberitahu dengan memboikot produk dari negara tuan segala masalah akan selesai daripada segi ekonomi. Kami bukan memboikot membuta-tuli cuma kami merasakan apa yang kami bayar akan dijadikan modal untuk membunuh saudara seagama kami.
Tuan pernah bermastautin di Indonesia dan tuan sendiri pernah hidup dalam komuniti Islam yang saling menyayangi Muslim yang lain. Apa salah kami memboikot produk AS jika sahih ia dijadikan sumber membiayai perjuangan rejim Zionis yang dipimpin dan dibiayai insan-insan terpilih oleh Tuhan untuk menjadi bijak pandai dan berbakat.
Orang Islam bukannya berminat sangat untuk menjadi 'pengganas' jika hak milik mereka dan nenek moyang mereka tidak diusik dan dirampas atas sokongan propaganda sejarah yang berlangsung beratus tahun dahulu.
Siapa yang benar-benar teruja hendak belajar memandu kapal terbang hanya untuk menemui ajal selain daripada manusia yang benar-benar tidak mempunyai pilihan di meja perundingan. Rundingan demi rundingan, gencatan demi gencatan di Gaza telah berlangsung.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dianggap medan untuk menyelesaikan masalah namun ahli Majlis Keselamatan akan pulang hampa apabila AS mengeluarkan veto, yang diharapkan ialah vote (undi menyokong) tapi yang terjadi, sebaliknya.
Tuan, 20 Januari 2009 mungkin hari biasa bagi kami dan penduduk Palestin yang hidup dalam ancaman peluru berpandu yang tidak berhati dan berakal seperti kita. Namun pada tarikh tersebut walaupun jawatan tertinggi di dunia itu mempunyai seribu rahsia dan protokol, diharap tuan boleh mula berbuat sesuatu untuk merealisasikan perubahan untuk rakyat AS dan seluruh dunia terutama di bumi Palestin.
Keamanan di Palestin dengan permulaan gencatan senjata antara Israel dan Hamas serta pemulihan total untuk rakyat Palestin dari segi infrastruktur dan ketetapan sempadan adalah menjadi cita-cita kami sebagai penduduk dunia yang cintakan keadilan sejagat dan perubahan positif dalam keamanan dunia.
Percayalah tuan setelah dentuman bom dan balingan batu reda, pemulihan ekonomi dunia pasti akan lebih mudah dilakukan. Selamat berjaya tuan Presiden
.

No comments: