Wednesday, January 28, 2009

Bukukan jasa bekas menteri - PM


Credit to Utusan Malaysia 28 Jan 09

PUTRAJAYA 27 Jan. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyarankan agar setiap pengorbanan, jasa serta sumbangan bekas-bekas menteri dibukukan untuk tatapan generasi akan datang.
Perdana Menteri berkata, dengan berbuat demikian, jasa mereka untuk membangun dan memajukan Malaysia sehingga menjadi antara negara kecil yang paling dihormati di dunia akan sentiasa diingati rakyat.
"Saya berharap buku ini menjadi tatapan semua pihak, baik pemimpin negara mahu pun rakyat supaya perjuangan menteri-menteri ini bukan sahaja dikenang malahan dijadikan renungan, panduan serta pedoman bersama.
"Di manalah kita tanpa khidmat bakti dan sumbangan besar pemimpin-pemimpin terdahulu yang bersama membangun dan memajukan Malaysia sehingga menjadi antara negara kecil yang disegani dunia," katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam teks ucapan sempena majlis pelancaran buku Menteri-Menteri Malaysia 1955-2008 yang dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini.
Buku terbitan Koperasi Belia Nasional Berhad (Kobena) itu memaparkan senarai penuh, keterangan dan kenangan perkhidmatan seramai 117 bekas menteri Kabinet dalam era berkenaan.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Pengerusi Eksekutif Kobena Berhad, Datuk Ibrahim Mat Din.

No comments: