Sunday, August 30, 2009

H1N1 serang paru-paru

WASHINGTON 29 Ogos - Doktor di seluruh dunia melaporkan kes-kes selesema babi dalam bentuk teruk yang terus menyerang paru-paru, menyebabkan pesakit yang biasanya golongan muda mengalami kegagalan sistem pernafasan yang serius sehingga memerlukan rawatan rapi berpanjangan di hospital.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporan terkininya semalam mengenai pandemik itu berkata, beberapa negara melaporkan sehingga 15 peratus pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana dijangkiti virus influenza A (H1N1) memerlukan rawatan rapi.
Masalah itu menimbulkan lagi bebanan ke atas sistem penjagaan kesihatan yang sudah pun tertekan, menurut WHO.
"Langkah-langkah persiapan perlu diambil bagi menghadapi kemungkinan meningkatnya permintaan terhadap unit penjagaan rapi yang dijangka tidak dapat menampung lonjakan tiba-tiba dalam bilangan kes teruk," ujar WHO.
Bentuk selesema yang teruk seperti selesema babi itu jarang dilihat dalam kes jangkitan selesema bermusim.
"Di kalangan pesakit HIN1, virus itu terus menyerang paru-paru, menyebabkan kegagalan pernafasan yang teruk. Menyelamatkan nyawa mangsa memerlukan rawatan sangat khusus dalam unit rawatan rapi, selalunya bagi tempoh lama dan melibatkan kos tinggi," kata WHO. - Reuters

Jangan cetus pertelingkahan

KUALA LUMPUR 29 Ogos
Pihak polis telah diarahkan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang sengaja mencetuskan pertelingkahan kaum tanpa mengira sesiapa termasuk 200 penduduk Islam yang berarak membawa kepala lembu bagi membantah pembinaan kuil di Seksyen 23 Shah Alam .
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan seumpama itu terpaksa diambil kerana keutamaan kerajaan ketika ini adalah keselamatan rakyat serta keamanan negara.
"Pertimbangan dan keutamaan saya adalah keamanan negara dan keselamatan rakyat pelbagai kaum.
"Oleh itu saya telah mengarahkan pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum tidak kira kaum dan agama,'' katanya.
Beliau mengulas tindakan 200 penduduk Islam di Seksyen 23, Shah Alam dan beberapa NGO berarak ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sebagai tanda membantah cadangan pembinaan kuil di kawasan yang majoriti penduduk Islam itu.
Kumpulan itu berkumpul di Masjid Negeri selepas solat Jumaat sambil membawa sepanduk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan negeri.
Bagaimanapun ia telah mencetus kontroversi apabila terdapat sebilangan penduduk yang menggunakan kepala lembu berarak dan meletakkannya di hadapan pejabat SUK.
Dalam pada itu, Hishammuddin sedar tanah yang diluluskan oleh kerajaan Selangor untuk pembinaan kuil tersebut tidak sesuai kerana majoriti penduduk di kawasan berkenaan adalah orang Islam.
Keadaan itu, katanya telah membangkitkan kemarahan penduduk tetapi beliau amat berharap isu tersebut tidak sampai ke tahap berlakunya pertelingkahan kaum.
"Membawa kepala lembu memang tidak sensitif tetapi harus diingat pernah ada satu insiden yang mana bendera UMNO telah digunakan membalut kepala babi dan kemudian ditinggalkan di depan bangunan UMNO," katanya.
Sementara itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Dr. Rais Yatim berkata, rakyat perlu belajar daripada peristiwa 13 Mei 1969 agar dapat mengekalkan tahap perpaduan antara kaum di negara ini.
Katanya, setiap kaum perlu menyelaraskan perasaan serta sentimen emosi mereka secara rasional.
Beliau berkata, soal agama dan budaya adalah perkara yang sensitif serta tidak boleh diperlekehkan.
"Mereka tidak boleh terbawa-bawa dengan perasaan sebegitu, kita perlu menjaga suasana harmoni di dalam negara ini,'' katanya semasa ditemui selepas majlis raptai sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 di Dataran Parlimen hari ini.
Rais berkata, tindakan yang berlaku semalam perlu dielakkan pada masa akan datang.
"Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara ini berdasarkan apa yang terjadi semalam yang mana mereka seolah-olah menghina kepercayaan agama lain.
"Sepatutnya di bulan puasa yang mulia ini, kita sebagai umat Islam perlu mempunyai sifat sabar yang tinggi,'' katanya.

SEMARAK MERDEKA

Sebahagian peserta raptai begitu riang dan sudah bersedia untuk menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan 31 Ogos esok.
Walaupun sedang menjalani ibadah puasa, para peserta yang mengambil bahagian dalam raptai penuh sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 tetap bersemangat tinggi semasa membuat persembahan di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur semalam.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim turut menyaksikan raptai itu yang disertai oleh kira-kira 10,000 peserta.

Tuesday, August 11, 2009

DAP hina institusi raja Perak

PARIT BUNTAR 10 Ogos - Kerajaan negeri mahu Pengerusi Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Loke Siew Fook, memohon maaf secara terbuka dan dikenakan tindakan tegas selepas blognya Themightypen.blogspot.com membuat tohmahan dan memburukkan institusi raja di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, artikel disiarkan pada 6 Ogos lalu itu bagaimanapun didapati dipadam hari ini setelah menimbulkan kemarahan pelbagai pihak.
Kata beliau, artikel tersebut jelas melampaui batas apabila memperkecilkan dan memaki hamun institusi raja termasuk Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah serta Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
"Sebuah parti yang bercakap mengenai demokrasi, keadilan dan sebagainya, membuat komen-komen seolah-olah negeri dan negara ini tidak ada undang-undang.
"Tulisan ini sangat berbahaya dalam hubungan kaum di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Parit Buntar di sini semalam.
Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, kebiadapan dan sikap kurang ajar keterlaluan itu menggambarkan Siew Fook tiada ciri-ciri kehidupan sebagai seorang rakyat Malaysia.
Beliau turut menganggap ahli politik pembangkang itu hilang kewarasan dan boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat kerana orang ramai sudah mula menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai perkara itu.
Justeru, beliau mendesak supaya langkah segera diambil ke atas penulis tersebut selain memberi penjelasan secara terbuka kepada semua pihak yang sedang marah.
"Walaupun ia telah dipadam tetapi kesan daripada apa yang ditulis oleh beliau sudah pun tersebar ke seluruh negara.
"Institusi raja terlalu dekat dengan hati orang Melayu, dan jangan cuba bermain api. Saya beri amaran ini kerana saya tidak akan bertanggungjawab jika berlaku perkara tidak diingini di negara kita dan juga di Perak," katanya.
Kata Zambry, penulis blog seperti itu tidak patut dibiar 'berkeliaran' di Malaysia kerana kesan daripada tulisan tersebut dikhuatiri mengundang kejadian lebih buruk.
"Ia hanya untuk memenangi kelompok tertentu. Kita akan bertindak terhadap penulis blog ini berdasarkan peraturan dan undang-undang," katanya.

Negara dalam bahaya - Azlan

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Sultan Azlan Shah memberi amaran bahawa negara berada dalam bahaya jika undang-undang hanya diterima dan dihormati apabila ia menyebelahi diri atau kumpulan sendiri sebaliknya ia ditolak jika keputusannya memihak kepada pihak lawan.
Sultan Perak menegaskan, negara juga terdedah kepada bahaya jika undang-undang dan penguatkuasanya mahu diketepikan manakala rakyat pula mula mengambil tindakan dengan tangan sendiri berasaskan emosi, sentimen dan hawa nafsu.
Titah baginda, jika tidak dibendung secara berkesan, keadaan itu akan meruntuhkan 'budaya bernegara' secara sivil untuk diambil alih oleh 'kaedah bernegara' yang mengamalkan budaya hukum rimba dengan yang lemah menjadi 'makanan' kepada yang kuat.
"Oleh itu, undang-undang perlu dipertahankan sebagai instrumen penimbang tara, tidak harus sama sekali dijadikan instrumen politik atau dipolitikkan.
"Kriteria pertimbangan untuk menggubal, menghapus atau meminda undang-undang hendaklah diasaskan kepada kepentingan negara, kepentingan keselamatan dan kepentingan rakyat jelata," titah baginda.
Baginda yang juga Canselor Universiti Malaya (UM) bertitah demikian sewaktu merasmikan Istiadat Konvokesyen UM Ke-48 di Dewan Tunku Canselor, UM di sini hari ini.
Hadir sama tiga Pro-Canselor UM, Raja Dr. Nazrin Shah, Toh Puan Dr. Aishah Ong dan Tan Sri Siti Norma Yaakob serta Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Arshad Ayub dan Naib Canselor UM, Datuk Dr. Ghauth Jasmon.
Sempena istiadat itu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kemanusiaan) bagi menghargai jasanya kepada negara.
Istiadat enam hari itu menganugerahkan ijazah kepada 6,863 graduan ijazah doktor falsafah, sarjana, sarjana muda dan diploma.
Dalam pada itu, Sultan Azlan menjelaskan, kedaulatan undang-undang adalah suatu istilah lumrah, mudah disebut dan enak didengar namun susah hendak ditakrif serta diimplementasi malah amat sukar pula difahami dalam erti kata sebenar.
Tegas baginda, istilah kedaulatan undang-undang kadang kala diberi takrifan yang mengandungi unsur-unsur emosi untuk menyesuaikan dengan kehendak sesuatu pihak dan bukannya takrifan yang adil, benar, tepat dan berani berpandukan prinsip undang-undang.
"Lalu berlaku amalan menyimpang daripada semangat pemerintahan yang adil dan saksama hingga membolehkan terjadinya perbuatan salah guna kuasa, penyelewengan, rasuah dan penindasan.
"Di pihak rakyat jelata pula, berlaku perbuatan yang bukan saja tidak menghormati undang-undang malah secara provokatif mencabarnya dengan tujuan mencetuskan huru-hara dan kekacauan agar kerajaan yang sah tidak dapat berfungsi secara berkesan," titah baginda.
Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Azlan menitahkan rakyat supaya membuat pertimbangan secara arif berhubung peristiwa-peristiwa yang dicetuskan secara tersurat dengan niat tersembunyi yang tersirat.
"Warga yang arif dan bijaksana perlu melihat sesuatu isu yang dibangkitkan dan tindak-tanduk politik yang sedang berlaku dari segi konsistensi suara dan perjuangan.
"Ia supaya negara yang aman lagi makmur ini tidak terjerumus dalam kancah huru-hara yang berterusan hingga sumber negara menjadi kurang produktif," titah baginda.

7 wasiat raja Melayu

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.
Wasiat yang disampaikan semasa raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 itu ialah:
Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).
Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejiman Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.
Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.
Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.
Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.
Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).