Monday, December 15, 2008

Kenangan di Highland Towers


KENANGAN tinggal di salah sebuah blok pangsapuri mewah, Highland Towers di Ampang, Selangor, lebih 15 tahun lalu tidak dapat dilupakan seorang ahli perniagaan, Hisham Talib, 31.
Di situlah tempat beliau menikmati keindahan Kuala Lumpur, yang jelas kelihatan dari unit pangsapuri yang didiaminya.
Menurutnya, ketika itu beliau masih menuntut di sekolah menengah dan sedang obses dengan permainan bola keranjang.
“Nasib agak baik kerana Highland Towers didiami oleh ramai warga asing yang bekerja dan belajar di sini.
“Di antara mereka pula, ada juga yang mahir bermain bola keranjang terutama mereka dari Amerika Syarikat,” jelasnya mengimbau keriangan dahulu.
Beliau menambah, jika tidak bermain bola keranjang, beliau akan meluangkan masa ke kolam renang pangsapuri itu yang selesa, selain bermain skuasy bersama adik-beradik lain.
Keceriaan jelas terbayang pada wajah Hisham tatkala beliau menceritakan tentang keindahan malam kosmopolitan Kuala Lumpur yang bergemerlapan terutama pada waktu-waktu perayaan seperti sambutan tahun baru dan hari kemerdekaan negara.
“Biasanya pada masa-masa sebegitu, kami sekeluarga akan ‘bersidai’ beramai-ramai di beranda untuk melayan halwa mata,'' jelasnya.
Namun, tanggal 11 Disember 1993 mengubah segala-galanya. Blok C yang didiaminya tersungkur menyembah bumi mengorbankan 48 penghuninya termasuk seorang pembantu rumahnya warga Indonesia.
Beliau yang ketika itu menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, Perak, kelu seketika mendengar perkhabaran berkenaan daripada seorang rakan di asrama.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana pada hari Sabtu itu kesemua ahli keluarga lain berada di Johor untuk menghadiri kenduri kahwin, namun saya tetap sedih dan bersimpati dengan ajal yang menimpa pembantu rumah kami serta 47 mangsa lain,'' ujarnya sayu.
Selepas tragedi itu, Hisham serta keluarga berpindah ke Ampang dan selepas mendirikan rumah tangga kira-kira empat tahun lalu, bapa kepada dua orang anak ini menetap di Subang Jaya, Selangor.
Padanya, kejadian seumpama itu tidak patut berlaku lagi kepada individu-individu lain.
Jelasnya, beliau kesal dengan sikap para pemaju yang rakus mencari keuntungan dan berharap kerajaan serta pihak berkuasa tempatan dapat menjalankan tugas dengan lebih cermat serta amanah selepas ini.
“Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak meluluskan permohonan pemaju untuk menjalankan projek di kawasan cerun harus dipandang serius oleh semua pihak termasuk kerajaan sendiri,” katanya yang berkelulusan sebagai arkitek.
Hisham mengulas keputusan yang dibuat Abdullah selepas beliau melawat lokasi runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa Sabtu lepas.
Kejadian yang berlaku kira-kira 1.5 kilometer dari tapak tinggalan Highland Towers itu mengorbankan lima mangsa, di samping meranapkan 14 buah unit banglo di Taman Bukit Mewah
Beliau berpendapat, pihak-pihak berwajib dan para pemaju perlu meninjau kembali tapak Highland Towers yang terbiar serta menilai kerugiannya, berbanding keuntungan
yang telah dijana.

No comments: