Thursday, December 4, 2008

Pengajaran kepada Ahli UMNO

PUTRAJAYA 3 Dis. - Pemecatan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim daripada UMNO merupakan satu pengajaran kepada ahli parti yang cuba melakukan perkara yang mengaibkan parti.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Rais Yatim berkata, setiap ahli parti
termasuk
pemimpin tertinggi perlu memahami perjuangan parti dan tidak bertindak melampaui batas.
''Ini adalah selaras dengan dasar parti iaitu seseorang yang tidak lagi membawa perjuangan parti dan melakukan perkara yang boleh mengaibkan parti perlu diambil tindakan.
''Sekiranya MT tidak mengambil tindakan maka ia tampak sebagai satu badan yang tidak berwibawa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Speaker Majlis Ash-Shura Arab Saudi, Dr. Sheikh Saleh Abdullah Humaid bersama enam lagi anggota delegasi lain negara itu di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan Zaid dipecat daripada UMNO ekoran tindakan beliau yang bertentangan dengan etika parti termasuk menghadiri perhimpunan parti pembangkang.
MT UMNO yang bermesyuarat semalam, turut menggantung keanggotaan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim selama tiga tahun kerana membuat kenyataan mengkritik parti.
SUMBER:UTUSAN MALAYSIA

No comments: