Tuesday, December 23, 2008

Nota makluman Akta Hubungan Kaum ke Kabinet

JOHOR BAHRU 22 Dis. - Kabinet akan memutuskan sama ada perlu meneruskan penggubalan Akta Hubungan Kaum selepas meneliti cadangan dan maklum balas daripada beberapa pihak yang relevan.
Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan memberitahu cadangan dan maklum balas itu akan dihantar bersama pandangan pihaknya dalam nota makluman kepada Kabinet pada 7 Januari ini.
"Ini bermakna belum ada sebarang keputusan dibuat sama ada Akta Hubungan Kaum ini akan diteruskan atau tidak," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan di sini hari ini.
Semalam, menteri berkenaan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, nota makluman Akta Hubungan Kaum bagi memelihara perpaduan dan keharmonian di negara ini akan dibentangkan kepada Kabinet pada 7 Januari ini.
Mohd. Shafie berkata, sebarang keputusan lanjut hanya akan dibuat selepas itu.
Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar mengumumkan kerajaan akan mewujudkan Akta Hubungan Kaum yang antara lain bermatlamat memelihara keselamatan dan perpaduan kaum di negara ini.

No comments: