Monday, December 15, 2008

SPR beri amaran kepada parti politik jangan naikkan bendera

10/12/2008 7:53pm
KUALA TERENGGANU 10 Dis. — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi amaran kepada parti-parti politik supaya tidak menaikkan bendera masing-masing sekarang kerana tempoh berkempen untuk pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu belum berkuatkuasa.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya menerima aduan terdapat parti-parti politik yang berbuat demikian di tempat-tempat tertentu di negeri ini.
Beliau berkata, tempoh berkempen hanya bermula selepas proses penamaan calon pilihan raya tersebut pada 6 Jan depan.
“Saya ingin tegaskan bahawa tindakan ini (menaikkan bendera politik) salah kerana dianggap berkempen di luar batasan undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan pegawai-pegawai polis Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Negeri Datuk Mohd Shukri Dahlan.
Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong berikutan kematian mengejut penyandangnya, Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran ketika bermain badminton di Institut Aminudin Baki di Genting Highlands pada 28 Nov lepas.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata SPR juga menetapkan bahawa Dewan Tunku Abdul Rahman dan Stadium Negeri, masing-masing akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan penjumlahan undi pilihan raya kecil itu.
Beliau berkata, keputusan pilihan raya kecil akan diumumkan di Stadium Negeri, pada malam hari mengundi 17 Jan depan.
Katanya, pemilihan kedua-dua tempat berkenaan dibuat selepas SPR berbincang dengan pihak polis terutama daripada sudut keselamatan.
Mengenai pertemuan hari ini, Wan Ahmad berkata pihaknya telah berbincang secara menyeluruh dengan polis bagi memastikan pilihan raya kecil itu berjalan lancar termasuk berkaitan penguatkuasaan undang-undang semasa tempoh berkempen.
- Bernama

No comments: