Monday, December 15, 2008

Mangsa tanah runtuh dapat diskaun hotel 50%

SHAH ALAM 10 Dis. - Kerajaan campuran Selangor menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus bagi sewa bilik di hotel milik kerajaan negeri bagi mangsa tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, langkah itu dibuat bagi mengurangkan beban kewangan mereka yang kini tidak lagi mempunyai penginapan selesa akibat musnah atau terpaksa berpindah.
"Kita mengesyorkan supaya penduduk diberi diskaun 50 peratus kadar sewa bilik untuk penginapan di Hotel De Palma, Ampang dan hotel-hotel di bawah Kumpulan Hotel De Palma," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.
Sabtu lalu, empat orang terbunuh manakala 14 cedera setelah 14 banglo di kawasan seluas empat hektar di Taman Bukit Mewah di Bukit Antarabangsa selepas berlaku kejadian tanah runtuh.
Sehari selepas tragedi, kira-kira 3,000 penduduk berhampiran diarah berpindah setelah beberapa kediaman di Kondominium Impian Selatan, Jalan Bukit Mewah 1 dikesan mengalami keretakan yang bukan sahaja tidak selamat diduduki tetapi boleh runtuh pada bila-bila masa.
Ditanya sama ada pampasan akan diberikan kepada pemilik rumah yang musnah, Abdul Khalid menjelaskan, kerajaan negeri tidak berbuat demikian kerana hartanah terbabit merupakan milik persendirian.
Bagaimanapun, beliau menambah, kerajaan negeri akan membantu mencari hartanah yang sesuai untuk mereka beli atau duduki.

No comments: