Thursday, December 18, 2008

Perpaduan misi PM

Pak Lah mahu reda ketegangan kaum, agama sebelum bersara

KUALA LUMPUR: Selepas Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008 diluluskan Parlimen, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan memberi tumpuan pula terhadap misi terakhirnya untuk meredakan ketegangan kaum dan agama di kalangan rakyat sebelum melepaskan jawatannya, Mac depan. Perdana Menteri berkata, kemelesetan ekonomi dan jurang perbezaan di antara orang Melayu dan Cina serta India adalah ancaman terbesar yang dihadapi negara ini.

"Memandangkan saya akan bersara lebih awal daripada yang saya rancang, (perubahan) itu perlu dilakukan segera. "Saya fikir bagaimana untuk mengendalikan isu hubungan kaum dan ketegangan agama kerana banyak perkara seperti ini berlaku. Orang Islam berfikir dari perspektif sendiri dan bukan Islam berfikir dari perspektif mereka sendiri," katanya kepada The Associated Press (AP), semalam. Abdullah berkata, beliau boleh mewujudkan institusi "untuk semua komuniti" bagi menyuarakan permasalahan mereka. Katanya, permasalahan itu juga boleh ditangani dengan mewujudkan perundangan baru bagi menjelaskan keraguan dalam undang-undang berkaitan pertikaian agama.

Umat Islam di negara ini dilindungi undang-undang syariah berkaitan hal keluarga dan peribadi, manakala masyarakat Cina, India dan kaum lain pula tertakluk di bawah Mahkamah Sivil. Bagaimanapun, tiada garis panduan jelas mengenai mahkamah mana yang mempunyai kuasa lebih besar apabila timbul pertikaian di antara orang Islam dan bukan Islam hingga mencetuskan kekeliruan, termasuk dalam kes menuntut mayat orang India atau Cina yang memeluk Islam tanpa pengetahuan saudara si mati. "Sebahagian orang (di luar Malaysia) ketawa dalam hal itu dan berkata: Apa sebenarnya perkara ini? Tetapi ia tidak kelakar sebenarnya. Ini adalah isu yang amat, amat serius," kata Perdana Menteri. Sementara itu, Abdullah berkata beliau tidak berhasrat melupuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
"Penahanan untuk mencegah mempunyai peranan dalam mana-mana masyarakat dan dalam mana-mana negara demokrasi. Tetapi pemimpin sesebuah negara juga amat perlu berhati-hati bagaimana untuk mengamalkan undang-undang ini," katanya.

No comments: