Monday, July 27, 2009

Umno positif syor Nik Aziz


Isu dibincang dalam Majlis Tertinggi Jumaat: MuhyiddinKUALA LUMPUR: Umno memandang positif kesediaan Datuk Nik Aziz Mat untuk melupakan sengketa politik kedua-dua parti demi perpaduan rakyat dan akan membincangkannya secara terperinci dalam mesyuarat Majlis Tertinggi pada Jumaat ini. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Umno akan membincangkan perkara itu sebagai agenda penting dan mengambil langkah sewajarnya bagi membolehkan perbincangan dengan pucuk kepemimpinan tertinggi Pas diadakan dalam tempoh terdekat.

"Kenyataan itu membuka lembaran baru dalam hubungan Pas dengan Kerajaan Persekutuan selepas kita memberi maklum balas mengenai kesediaan membincangkan mengenai kerajaan perpaduan. "Kita menyambut baik kenyataan itu dan menyedari sebagai manusia kita sering tersilap dan mempunyai perbezaan pendapat. Ini peluang terbaik merapatkan hubungan yang kesannya bukan saja baik kepada masyarakat Islam, malah seluruh rakyat," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Dialog Perkongsian Pintar Global 2009 (Global 2009) di Kampala, Uganda, semalam. Timbalan Presiden Umno itu berkata, langkah susulan akan dimulakan dengan memilih wakil daripada Umno menemui pemimpin Pas bagi membincangkannya sebelum tindakan lanjut diambil.

Beliau diminta mengulas kesediaan Mursyidul Am Pas menghulurkan tangan untuk berbaik-baik dan melupakan sengketa politik kerajaan negeri Pas dengan Kerajaan Pusat demi menjaga kepentingan rakyat dan perpaduan Islam. Menteri Besar Kelantan itu berharap perselisihan pendapat pemimpin politik, terutama antara Umno dan Pas ketika kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, baru-baru ini dilupakan dan kedua-dua pihak kembali kepada semangat persaudaraan. Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yakin hubungan kerajaan dengan kerajaan dapat diperkukuhkan jika kerjasama dalam semua sektor, termasuk ekonomi dimanifestasikan. Seorang lagi Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu sejak dulu mengamalkan sikap terbuka untuk menjalin hubungan positif dengan Kerajaan Pusat dan tidak mempunyai niat tertentu melainkan menjaga kepentingan rakyat dan umat Islam.
Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan, berkata pada prinsipnya beliau bersetuju dengan pandangan Nik Abdul Aziz kerana ia selaras tuntutan Islam, tetapi harus berlandaskan keikhlasan dan kejujuran supaya masa depan politik, ekonomi dan sosial negara menjadi lebih baik. Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh, berkata pandangan Nik Abdul Aziz wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak supaya wujud titik persamaan yang mengetepikan perbezaan fahaman ideologi. Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga menyambut baik usaha itu, namun mahu Kerajaan Pusat menunjukkan komitmen dengan memulangkan royalti petroleum RM1 bilion kepada Kelantan. Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw, berkata pihaknya tidak melarang parti Pakatan Rakyat berbaik-baik dengan Kerajaan Pusat, malah menggalakkan hubungan yang menguntungkan rakyat.

No comments: