Tuesday, July 28, 2009

Malaysia teruskan inisiatif tingkat pertumbuhan ekonomi

Credit to: Berita Harian..
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia akan meneruskan inisiatif bagi memastikan kejayaan pembaharuan dan perubahan struktural kepada ekonomi negara. Perdana Menteri berkata ia bagi merealisasikan model ekonomi baru berteraskan kreativiti, inovasi dan nilai tinggi yang akan menjamin kelangsungan kemakmuran nasional. "Malaysia adalah negara yang sentiasa berada di hadapan kelok perubahan dan pembangunan sejak kemerdekaan lebih lima dekad lalu," katanya pada Majlis Perhimpunan Perdana Menteri bersama Anggota Pentadbiran dan Penjawat Awam serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), di sini, semalam.
Najib berkata, apabila kemelesetan ekonomi pertengahan 1980-an menimpa negara akibat harga komoditi dunia yang merudum, Malaysia melancarkan dasar industrialisasi dan pembangunan prasarana secara besar-besaran. "Ketika menghadapi krisis kewangan Asia sekitar 1997/ 98, Malaysia mencipta kaedah kawalan modal dan tambatan mata wang. "Bagi menyelesaikan secara holistik masalah ketidakseimbangan ekonomi, Malaysia mengambil langkah di luar lingkungan pemikiran ekonomi lazim dengan memperkenalkan kaedah agihan persamaan kekayaan melalui Dasar Ekonomi Baru.
"Banyak pihak waswas ketika itu dan meramalkan ia akan mendatangkan kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang, tetapi selama 20 tahun, dasar berkenaan berlangsung, pertumbuhan ekonomi berkembang dengan ampuh," katanya. Beliau berkata, kerajaan juga akan menawarkan ganjaran atau satu baiah baru kepada semua pengetua dan guru besar sekolah rendah dan menengah dengan memberi ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing. Selain itu, sebagai projek perintis, 100 sekolah jenis harian biasa, sekolah bestari, kluster, sekolah berpiagam dan sekolah berasrama penuh akan dikenal pasti untuk diangkat menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi. "Dengan ini kita akan menyediakan persekitaran pelajaran dan pembelajaran yang kondusif serta menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memacu pencapaian pelajar," katanya.

No comments: