Oleh M Jasni Majed
SELEPAS kekalahan Umno di lima negeri pada pilihan raya umum Mac lalu, banyak kenyataan diluahkan pelbagai pihak. Seorang penganalisis politik dalam tulisannya di sebuah akhbar tempatan beberapa hari selepas pilihan raya itu menyatakan orang Melayu sibuk mengumpul pengikut berarak di jalan raya, tetapi orang Cina sibuk mengumpul ahli untuk menguatkan parti. Selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 itu juga, senario politik negara berubah kerana pelbagai pertikaian dilakukan oleh pihak tertentu ke atas orang Melayu, termasuk dari segi bahasa, hak keistimewaan dan status bangsa Melayu di negara ini. Di Pulau Pinang umpamanya, Gerakan berusaha meletakkan papan tanda pelbagai bahasa di negeri berkenaan konon untuk memudahkan pelancong, terutama dari luar negara.
Di sekitar kawasan tapak Warisan Dunia di Georgetown juga dicadangkan supaya papan tanda pelbagai bahasa dinaikkan. Berbeza pula dengan tapak warisan itu di Melaka yang tidak cuba dipelbagaikan bahasanya sedangkan di situ juga bukan hanya pelancong tempatan yang akan datang dan mengerumuninya. Tindakan dan kenyataan berbau politik terus melanda negara, termasuk isu menyentuh Dasar Ekonomi Baru (DEB), pendidikan dan sebagainya. Semua ini mencabar kedudukan Melayu dan jika tidak ditangani dengan bijak, kekuatan Melayu akan hilang dan identiti Melayu akan terhakis sedikit demi sedikit di tanah air sendiri. Titah ucapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak lama dulu yang meminta orang Melayu memperkukuh kedudukan adalah sebagai satu peringatan kepada bangsa Melayu agar memperkuat semula kedudukan selepas dirasakan berada dalam keadaan tidak menentu, dicabar dan diperlekehkan dalam pelbagai aspek.
Baginda juga menegaskan bahawa sebarang pindaan Perlembagaan yang menyentuh Raja-Raja dan bidang kuasa Raja Pemerintah merangkumi bidang agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan orang Melayu serta Bumiputera di Sabah dan Sarawak mesti mendapat perkenan Raja-Raja terlebih dulu. Kemelut politik melanda negara pada masa ini dikaitkan dengan wujudnya tidak sefahaman di kalangan orang Melayu dalam menentukan kedudukan mereka dalam politik. Perebutan kuasa, amalan politik wang dan tiadanya kerjasama di kalangan orang Melayu dalam menjaga maruah bangsa, terutama rakyat akan menjejaskan kestabilan negara kerana wujudnya rasa tidak puas hati di kalangan rakyat atas sesuatu tindakan dan pelaksanaan. Maka, pemimpin dan orang Melayu sendiri tidak kira atas apa fahaman politik sekalipun mesti duduk berbincang dan mencari jalan penyelesaian supaya kestabilan politik serta ekonomi dapat dibentuk dan dapat dinikmati bersama. Kita tentunya bersyukur kerana beberapa minggu lalu Ahli Parlimen beragama Islam daripada Barisan Nasional (BN) dan parti pembangkang bersatu untuk memastikan keluhuran dan kedudukan agama Islam di negara ini terpelihara.
Di samping itu, Umno mestilah memainkan peranan dalam memperkasa semula bangsa dan kedudukan Melayu agar tidak mudah dicabar dan diperlekeh. Jentera parti sepatutnya menumpukan ke arah usaha menaikkan semula imej parti, mencari dan menilai kelemahan kemudian memperbaikinya supaya keyakinan rakyat terhadap parti menjadi semakin kuat. Di pihak rakyat pula, Melayu mestilah bersatu dan memikirkan kaedah terbaik untuk menjayakan semua kempen dan program kerajaan supaya negara dapat terus dibangunkan dan yang pentingnya keluhuran agama dapat dipelihara. Orang tua-tua ada mengatakan, 'lidi sebatang mudah dipatahkan, jika banyak, hendak dilentur pun susah.' Percakaran dan perbalahan dalam politik yang membawa kepada ketaksuban sehingga di kalangan orang Melayu sendiri memulau bangsa sendiri dan mementingkan pula bangsa lain akan memburukkan keadaan. Kesimpulannya, jika orang kita masih lena dengan 'serangan' halus pihak yang mahu memecahbelahkan kita, maka makin bertambahlah di kalangan orang kita yang terpaksa turun longkang, mengaut sampah untuk menyambung hidup di tanah air sendiri. Penulis, seorang pendidik dan penulis bebas

No comments:
Post a Comment